Rotan, guru dan pelajar

R

Secara prinsip, aku memang tidak pernah bersetuju dengan kaedah merotan untuk mendidik. Tambahan lagi, jika ia meninggalkan kesan fizikal kepada tubuh.

Pro-Merotan

Walaupun terdapat hadis yang menganjurkan rotan diletakkan di rumah, tetapi ia tidak bermaksud ia boleh digunakan. Persoalan yang aku selalu bangkitkan,

“Pernahkah Nabi merotan dalam mendidik anak-anak?”

Adakah benar dengan merotan anak-anak akan lebih berjaya? Itu hanyalah dakwaan yang syok sendiri, yang mendabik dada mengaku diri sendiri berjaya. Sejauh mana berjayanya? Ada yang telah memenangi Noble Prize? Menjadi ulama’ sehebat Imam Ahmad, Malik, Abu Hanifah dan As-Syafie?

Di saat dunia barat sudah meninggalkan budaya merotan, kita masih berbangga-bangga dengan merotan? Aku ketika zaman sekolah juga jarang dirotan guru, kerana kenakalan aku hanya di luar sekolah dan aku bijak menyelamatkan diri. Aku juga pelajar kelas pertama yang cemerlang.

Jadi, buat mereka yang biasa dirotan itu mungkin pelajar yang bermasalah. Pelajar cemerlang pasti jarang dirotan. Mereka yang kerap dirotan juga tidaklah bagus mana. Tak berjaya mana pun, sembang je lebih.

Sikap Guru

Kadang-kadang, kita juga harus melihat kembali bagaimana pemilihan guru dibuat kerana aku merasakan bukan semua guru yang telah menjadi guru sebenarnya bercita-cita dan berimpian menjadi pendidik. Ada yang kerana terpaksa, ada yang dilelong, ada yang kerana tiada pilihan. Tanpa dinafikan, memang terdapat mereka yang benar-benar berjiwa pendidik yang menjadi guru!

Pengalaman aku melihat sikap guru yang tidak boleh ditegur, pendendam dan menyalahguna kuasa menjadikan aku sendiri ada sedikit ragu-ragu dengan tindakan keras mana-mana guru.

Aku pernah melihat seorang guru lelaki membuli pelajar kelas corot dan menjadikan mereka tempat dia melepaskan geram. Ya, biasanya mereka inilah pelajar-pelajar bermasalah. Sepak dan terajang digunakan, tampar dan penumbuk digunakan. Wajahnya puas setelah membelasah pelajar-pelajarnya.

Selain itu, terdapat guru yang “bias” terhadap anak orang kaya kerana mendambakan sponsorship dari ibu atau bapanya. Jadi, anak orang miskin biasanya dijadikan kambing hitam. Anak orang kaya dirotan perlahan, anak orang miskin dirotan lebih kuat.

Pengalaman aku melihat suatu tindakan yang lebih dahsyat adalah sikap guru yang menggunakan serangan psikologi terhadap pelajar. Menggunakan kaedah boikot terhadap anak muda yang sedang membesar sudah pasti merosakkan emosi mereka yang rebel. Kenapa mereka membenci guru? Membenci sekolah? Perlu kita kaji dan telusuri sebaiknya. Jangan lupa kes bunuh diri kerana tertekan dengan tindakan guru pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Siapakah yang mengeluarkan laporan pelajaran pelajar mangsa rotan tersebut? Sikap membuli ini amat tidak wajar dilakukan. Untuk apa? Untuk menjustifikasi kebenaran merotan pelajar bermasalah? Siapa yang menyimpan rekod tersebut selain guru dan sekolah?

Mangsa Rotan

Seperti yang aku sebutkan dari awal. Biasanya mereka yang kerap dirotan atau dirotan dengan teruk ini selalunya pelajar kelas belakang atau corot. Kelas corot ini selalunya dihuni oleh pelajar bermasalah.

Aku percaya hanya sedikit daripada mereka sahaja yang memiliki masalah sikap. Yang lainnya mempunyai masalah lain seperti Dyslexia, ADHD, Hyperactive, Austisme dan lain-lain. Logiknya, aku pernah melihat pelajar tingkatan 3 tidak boleh membaca dan menulis. Ada yang terlalu pendiam, ada yang tidak bercakap.

Perkara ini terjadi kerana pelajar tersebut tidak didiagnose dan tidak diberikan saringan yang baik. Mereka hanya dipanggil pelajar lembab, atau lembam. Budak kelas belakang. Walhal mereka mempunyai masalah yang lain.

Seperti pelajar yang dirotan baru-baru ini, sikap agresif yang dikatakan seperti itu telah aku lihat ketika aku bersekolah di sekolah harian. Aku percaya pelajar itu ada masalah lain, tiada manusia normal yang akan memaki hamun guru tanpa sebab.

Ibu bapa

Didikan bermula dari rumah. Sesibuk mana ibu bapa itu, adalah kewajipan mereka mendidik dan memantau tumbesaran anak-anak. Awareness dan ilmu terhadap masalah anak-anak adalah perkara utama yang perlu dimiliki agar intervensi terhadap masalah tersebut dapat dimulakan lebih awal.

Menjadikan diri rakan kepada anak yang sudah remaja adalah langkah yang sangat diperlukan kerana jiwa remaja ketika itu sangat rebel perlu dirasionalkan. Keperluan rakan yang lebih berpengalaman sangat kritikal di saat remaja mencari identiti diri.

Komunikasi ibu bapa dengan semua pihak perlulah seiring dengan perkembangan akal dan jiwa anak, aku percaya, segala masalah dunia bermula dengan masalah komunikasi. Jika komunikasi baik, rasanya segala masalah akan bisa diselesaikan.

Dunia ini terlalu indah.

Dunia ini bukanlah utopia umpama mimpi. Pasti berlaku sedikit pergeseran. Meraikan kelemahan sesetengah pihak dan memperbaiki segala kelemahan adalah tanggungjawab bersama. Jika kita tidak mampu menyenangkan orang lain, sekurang-kurangnya, kita tidak menyusahkan orang lain.

Mengenai penulis

Tambah komen

Admin

Who is aLiph.My?

Official blog of Aliff Ahmad (Aliff Shariffuddin) also known as Abu Fedora al-Turkistani. His real name is Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin. The co-founder of Scrut.my , Ifmal.com , Idsb.my and Coin.my.