Merujuk artikel yang disiarkan di :
Nampak jelas tulisan tersebut hanya bertujuan mencari capaian. Gila publisiti tanpa mempunyai input yang bernas. Bila melihat latar penulisnya, pun kita dah boleh simpulkan mengapa terdapat rasa pelik terhadap teks dan konteks yang cuba disampaikan. Terdapat banyak jenayah ilmiah dalam kefahaman penulis. Ya, penulis masih pelajar diploma..
Good try, but sangat sampah..
Aku bukan nak kritik keseluruhan tulisan itu, aku cuma nak perbetulkan kefahaman tentang beberapa teks yang aku kira penulis sekadar melakukan “copy paste” dari sumber sekunder tanpa menyemak kembali kepada sumber asal. Juga, aku nak mengajar bagaimana berinteraksi dengan perbezaan pandangan dalam hal takrifan sesuai dengan waqi’ dan zaman.
“Untuk Malaysia menjadi negara Islam, Malaysia perlu memenuhi syarat-syarat untuk sesebuah negara Islam. Syarat-syarat untuk menjadi negara Islam ialah yang pertamanya, tanah yang penduduk asalnya memang terdiri daripada Muslim dan diperintah oleh pemerintah Muslim. Kedua, tanah yang didiami oleh Muslim tetapi kemudiannya dijajah kafir dan ketiga, tanah yang dibuka oleh Muslim daripada peperangan atau persefahaman.”
Dari mana definisi ini dibuat dan diambil? Ini kesimpulan yang aku kira sangat tersasar yang biasa digunakan oleh kaum
liberal sesat. Definisi ini disandarkan kepada Ibn Hajar tanpa rasa bersalah. Walhal, Ibn Hajar menceritakan tentang beberapa jenis negara Islam. Bukan syarat-syarat untuk menjadi negara Islam! (Rujuk kembali sumber premier)
“Selagi Malaysia tidak memenuhi syarat-syarat di atas, Malaysia tidak layak digelar sebagai negara Islam walau apa jua alasannya. Untuk lebih pemahaman, Malaysia pada zaman dahulunya, majoritinya beragama animisme, politiesme dan sebagainya.”
Kemudian, kesimpulan yang dibuat sangat kelakar dan lawak. Aduh, negara Arab pun kesemuanya bukan asalnya negara Islam. Negara penyembah berhala dik oi! Kesimpulan simplistik yang sangat dangkal ini membuktikan betapa pelajar diploma ini belum layak menulis tentang perkara yang telah lama disimpulkan oleh para sarjana.
Amat jelas research methodologi seakan kosong dan kontang dengan kesimpulan yang sangat dangkal. Jangan ingat kau menggunakan terma-terma jargon berjaya menunjukkan kau benar. Mungkin di mata kaum bebal bolehlah dia mendabik dada.
Definisi negara Islam ini telah disebut oleh ramai sarjana Islam. Ada yang ketat, ada yang longgar. Ia menjadi khilaf yang sangat luas. Ibnu Khaldun, Al-Mawardi, Ibn Qayyim, Ibn Abidin dan Ibnu Taimiyyah telah meletakkan beberapa syarat sejak sekian lama dahulu. Apabila ada khilaf, maka perlulah dicari dan diteliti apakah persamaan besar pandangan tokoh-tokoh besar dunia Islam ini dan disesuaikan dengan zaman ini. Bukan dipilih 1 pandangan kemudian digarap terus untuk memenuhi kesimpulan nafsu yang diingini.
Tokoh-tokoh kontemporari seperti Az-Zuhayli, Al-Buti, Karim Zaidan dan lain-lain meletakkan syarat yang agak menima. Pandangan mereka seakan pandangan seorang tokoh besar mazhab Syafie, Al-Imam Al-Muzani yang menyatakan negara Islam itu adalah apabila solat boleh didirikan dan syiar Islam boleh dilaksanakan. Al-Muzani adalah murid kanan Imam as-Syafie dan seorang ulama’ kurun salaf.
Apabila aku mengumpulkan kebanyakan pandangan yang punya persamaan, boleh disimpulkan, ciri-ciri negara Islam adalah :
1. Warganegara majoriti Muslim.
2. Dipimpin oleh pemimpin Muslim.
3. Syiar Islam dapat dijalankan.
4. Umat Islam aman di negara itu.
Dengan 4 syarat di atas, negara Malaysia sudah layak menjadi negara Islam. Bahkan di dalam peruntukan perlembagaan persekutuan juga meletakkan Islam sebagai agama rasmi.
Dalam masa yang sama, Malaysia juga menjalankan beberapa undang-undang syariah walaupun tempang dalam beberapa sudut dan keadaan.
Menurut aku, Malaysia adalah negara Islam. Ya, negara Islam yang masih tempang yang perlu diperbaiki sana sini. Tidak ada Muslim yang sempurna, begitu juga negara Islam yang sempurna.
Adakah seseorang Muslim yang tidak solat, solat tidak penuh, tidak puasa, tidak bayar zakat, membuka aurat, tak tutup aurat dengan betul, rasuah, atau mencuri boleh kita hukum atau cop dia sebagai bukan Muslim?
Tidak bukan? Selagi dia mengaku dia Muslim, ada ciri-ciri (syiar) dia seorang Muslim, dia tetap Muslim. Ya, dia Muslim yang tempang amalannya.
Begitu juga Malaysia, negara Islam yang tempang amalan Islam di dalamnya. Masih perlu diperbaiki dan terus dibaiki. Yang menjadikan negara Islam itu negara Islam adalah Muslim di dalamnya. Sepatutnya kau sebagai Muslim kena berusahalah menjadi Muslim yang tak tempang dan juga menjadikan negara Islam Malaysia yang tidak tempang.
Bukan kau kafirkan negara kau!