ANTARA MAJIKAN DAN PEKERJA ADA NILAI MANUSIAWI DI TENGAH-TENGAH..

A

Mentaliti menjadi pekerja dan majikan adalah tersangat berbeza. Bila kau jadi pekerja, cara kau berfikir tidak jauh, tidak luas dan tidak strategik. Bila kau jadi majikan ia sebaliknya. Tapi, jika kau ada mentaliti majikan sewaktu kau bekerja, kau akan jadi pekerja cemerlang dan bakal mendapat tempat penting di tempat kau bekerja.

Kalau dikira-kira secara detail, mungkin aku sudah punya lebih 200 orang yang pernah makan gaji dengan aku. Ada yang masih kekal, ada yang keluar secara terhormat, ada yang tidak terhormat, ada yang dibuang. Watak-watak dan karektor-karektor manusia yang bergelar pekerja sudah banyak aku kenal.

Dari top student, headboy, straight 11A1, top uni luar negara, dalam negara, sampailah ke tiada kelulusan akademik, semuanya pernah aku rasa menguruskan mereka. Dalam syarikat-syarikt aku, HR dan BD memang biasanya aku yang jaga.

Pengalaman menguruskan manusia, memang sangat unik. Sebagai majikan kita cuba bantu pekerja-pekerja yang kita rasa boleh menjadi anchor kita di masa hadapan. Ada yang dibantu membina perniagaan, kewangan, masalah peribadi, kesihatan dan macam-macam lagi. Dengan harapan, “hari ini aku tolong kau, masa depan kau tolonglah aku.”

Aku belajar mengawal bermacam-macam keunikan manusia, ada yang ADHD, slow learner, obese, asperger, extrovert, introvert, anxiety, bipolar disorder, dyslexia dan autisme. Aku belajar berinteraksi dengn mereka. Mula-mula memang aku taktau. Aku marah, aku maki. Lepas aku melihat ke dasar hati mereka, aku faham kapasiti mereka, limitasi mereka. Aku sedar, different men, different way.

Mungkin ada di kalangan majikan yang berpegang dengan mazhab,

“we never take it personal, you have to follow my way and my rule in my ship. Your personal feeling is yours.”

Mazhab ini tidak salah. Bahkan ia sangat betul. Tapi aku suka memperincikan mazhab tersebut supaya ia lebih wasatiyah (pertengahan) dan tidak terlalu keakuan sifatnya. Aku cuba berinteraksi dengan mereka yang aku rasa sebenarnya ada potensi atau aset kepada syarikat supaya mereka boleh perform dengan lebih baik.

Tetapi mereka itu mestilah yang telah proven dan tested kesetiaan, kejujuran dan sayangnya mereka kepada pekerjaannya. Aku pasti kesilapan dia bukan kerana dia bencikan kerjanya, bencikan majikannya, tetapi kesilapan teknikal, salah faham atau kesalahan manusia biasa.

Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.

(Riwayat Ibn Majah : 4392)

Setiap manusia itu unik dan special. Kemampuan, kekuatan dan kelebihan juga berbeza-beza. Kalau kau suruh Michael Jordan main bola, belum tentu dia boleh berjaya. Suruh Ronaldo buat calculus atau Messi buat poster. Belum pasti jadi. Begitulah manusia, tuhan telah melengkap dunia ini dengan kelebihan dan kekurangan manusia.

Kalau semua manusia terer macam aku. Semua orang jadi bos. Siapa nak jadi accountan aku? Engineer aku? Maka manusia ini saling melengkapi antara satu sama lain. Aku sebagai majikan juga belajar memahami mereka yang berjuang di dalam kapal aku.

Allah SWT berfirman:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”

(Surah al-Tin: 4)

Kata-kata Sayyida Ali ra. yang popular,

Saidina Ali R.A berkata:

النَّاسُ ثَلَاثَةٌ: فَعَالِمٌ رَبَّانِيٌّ، وَمُتَعَلِّمٌ عَلَى سَبِيلِ نَجَاةٍ، وَهَمَجٌ رَعَاعٌ أَتْبَاعُ كُلِّ نَاعِقٍ، يَمِيلُونَ مَعَ كُلِّ رِيحٍ

Maksudnya: “Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah SWT) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin.”

Sebagai nakhoda kapal, sudah pasti kami mahukan yang terbaik untuk semua anak-anak kapal kami. Aku percaya, buat baik kepada mereka adalah tanggungjawab besar kami.

“Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Al Maidah: 32)

Aku juga sedang belajar dan terus belajar untuk menjadi majikan yang baik. Seperti para pekerja, majikan juga manusia. Makan nasi, bukan makan besi. Kadang-kadang teremosi juga. Tapi, pasti dan pasti kami tiada niat untuk merosakkan para pekerja kami. Setiap bulan, gaji pekerja dilepaskan dahulu. Jika ada lebih, barulah kami bergaji.

Aku juga belajar banyak perkara dengan menjadi majikan. Aku baru tahu yang pengidap anxiety ini tak boleh ditengking, tak boleh diperli dan disarkastik. Tak boleh guna mental psiko macam tarik muka atau tak bertegur. Orang seperti ini hard working dan takut buat salah. Dia akan fikir bukan-bukan kalau kita tersalah cara.

Yang slow learner pula, perlu diberi lebih masa, jangan put pressure terlalu kerap, bagi peluang lebih. Yang bajet pandai pula, sukakan cabaran. Yang bipolar perlukan ubat dan hubungan dengan doktornya. Aku mungkin takkan ambil tahu kalau aku sekadar pekerja. Masih teringat ketika zaman kanak-kanak, aku selalu buli budak-budak kelas belakang, sampai hari ini aku menyesal. Aku tahu mereka itu sebenarnya ada masalah lain, bukanlah bingai atau bebal yang aku fikirkan duhulu.

Itulah maksud “antara majikan dan pekerja ada nilai manusiawi di tengah-tengah.” Memahami manusia lain bukan kewajipan atau tanggungjawab kita, tapi itulah nilai manusiawi yang ada dalam diri kita. Kita mahu yang terbaik untuk diri kita tanpa melupakan kalam Nabi kita yang bermaksud,

“Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Aku tak pandai nak buat video drama sampah untuk tunjuk aku majikan yang baik macam founder-founder kosmetik timbang kilo. Tapi, aku ucap terima kasih sebab dengan adanya diorang, aku belajar tentang erti manusiawi dengan lebih mendalam. Diorang bukan sekadar SAKA (Staff Aku, Kebanggaan Aku), mereka juga warrior aku.

Mengenai penulis

Tambah komen

Admin

Who is aLiph.My?

Official blog of Aliff Ahmad (Aliff Shariffuddin) also known as Abu Fedora al-Turkistani. His real name is Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin. The co-founder of Scrut.my , Ifmal.com , Idsb.my and Coin.my.