Aku sampai hari ni tak boleh terima orang yang kerap atau sentiasa makan tak habis dan akhirnya dibuang. Memang syaitan, amalan syaitan. Sekali sekala takpalah, kita faham.
Siapa yang kenal aku pasti tau aku makan licin, sampai tulang-tulang sumsum aku sedut dan kunyah. Aku juga makan semua benda dan tak memilih. Jarang-jarang aku buang dan membazir.
Benda yang boleh buat aku marah adalah membazir makanan. Semua office aku, aku provide free lunch. Aku pernah tarik sebab aku nampak banyak pembaziran dan masalah kebersihan.
Aku jadi gemuk pun sebab kerja aku habiskan makanan. Bermula dengan kembara makan dengan ayatolla Zulhisham Ayob, maulana Muhd Noraswazdi, kemudian Datuk Wira Nik Izwan Kamel. Gopren-gopren jangan cakaplah, akulah tukang habiskan makanan tak habis..
Mungkin kerana aku lahir dalam keluarga miskin kemudia dibesarkan dalam keluarga miskin bandar. Makan sehari sekali. Tak diberi peluang memilih, apa mak masak, aku makan. Tak boleh buang dan wajib habiskan.
Masih teringat lagi dalam otak aku, mak aku sering habiskan makanan yang adik aku gagal habiskan setelah dipaksa. Kutip balik dan jamah. Mak aku cakap,
“Kita ni orang susah, tapi tuhan masih bagi kita makan, kena bersyukur, jangan buang-buang. Nanti tuhan tarik nikmat. Ramai lagi orang dekat luar sana kebulur takda makanan.”
Itulah doktrin awal aku. Kemudian, ketika khuruj di India, Pakistan dan Bangladesh membuatkan aku lebih celik. Apa yang mak aku cakap itu benar. Ada setahun sekali makan daging. Ada yang tak pernah jejak kaki ke KFC. Makan apatah lagi.
Teringat aku ketika kami makan di KFC halal di India, yerla dah sangap sebab asyik kari je orang khidmat. Terlihat seorang anak kecil di luar. Tengok je kami makan. Amir aku keluar bagi seketul ayam. Aku rasa anak itu Hindu, dia terus sujud macam nak sembah amir aku.
Amir aku tahan dan cakap,
“Allah sabase bada hai hota hai..”
(Allah maha kuasa..)
Sambil tunjuk ke langit.
Lepas tu ramai gang dia datang. Seorang ahli jemaah yang dari UK order 1 bucket, bagi diorang. Macam piranha diorang balon. Dengan tulang, diorang patahkan makan sekali. Takda satu sisa pun tertinggal!
Mungkin itulah seumur hidup diorang dapat rasa KFC atau memang tengah kelaparan. Rasa bersyukur juga aku dulu dapatlah makan setahun sekali, takdalah kelaparan sampai macam tu. Teringat aku pernah mengamuk sebab bapa aku tak belikan KFC. Bawa makan nasi campur je.
Betapa perkara pembaziran makanan ini sangat ditekankan, hatta Nabi sendiri menunjukkan contoh tauladan. Nabi suruh jilat jari jemari selepas habis makan dan kutip makan makanan yang terjatuh.
Dari Anas bin Malik R.A, katanya :
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَكَلَ طَعَامًا لَعِقَ أَصَابِعَهُ الثَّلَاثَ، قَالَ: وَقَالَ: إِذَا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْهَا الْأَذَى وَلْيَأْكُلْهَا، وَلَا يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ، وَأَمَرَنَا أَنْ نَسْلُتَ الْقَصْعَةَ، قَالَ: فَإِنَّكُمْ لَا تَدْرُونَ فِي أَيِّ طَعَامِكُمُ الْبَرَكَةُ
Maksudnya : Rasulullah SAW apabila selesai makan, Baginda akan menjilat ketiga jarinya sambil bersabda: “Apabila suapan salah seorang daripada kalian terjatuh, hendaklah dia bersihkan kotoran (atau habuk) padanya dan kemudian memakannya. Jangan biarkan makanan itu untuk syaitan (dimakannya)”. Juga, Baginda berpesan kepada kami agar membersihkan sisa makanan yang berada di atas pinggan (habiskan). Baginda bersabda : “Kerana sesungguhnya kalian tidak tahu pada bahagian mana daripada makanan kamu yang mengandungi keberkatan.”
(Riwayat Muslim No :2034)
Mungkin ada dari kalangan korang yang lahir dalam dulang makanan, boleh buang-buang makanan sesuka hati. Makan tak habis dan memilih makanan. Tapi pengalaman hidup sendiri dan melihat orang yang jauh lebih susah membuat aku pantang nampak pembaziran makanan.
Aku akan marah dan sedih..