“MERABA” PELAJAR WANITA KERANA HAID? DI MANA LETAK SYARA’ SEBENAR?

Isu ini bukan isu baru. Bukan. Ia telah berlaku sejak zaman berzaman. Bahkan mak aku juga pernah menceritakan hal yang sama. Cikgu PJ (Pendidikan Jasmani) juga memeriksa pelajar yang tidak mahu keluar bersukan dengan alasan datang bulan.

Baru-baru ini, kecoh tentang guru melakukan pemeriksaan terhadap hal yang sama. Perkara ini bukan baru. Ia tradisi untuk memastikan semua pelajar yang boleh solat, kena pergi solat. Alasan dan hujah nampak baik. Tetapi adakah cara perlaksanaan seperti itu baik?

Sepanjang aku bersekolah. Memang ada beberapa puak “Mean Girls” yang semua orang tahu, dari cikgu sampai ke pelajar, yang mereka ini memang dah rosak. Taknak solat itu biasa, taknak puasa dan diketahui mereka terlibat dengan aktiviti clubbing serta seks bebas di luar sekolah. Di sekolah korang pun, aku yakin ada. Hatta sekolah agama.

Mungkin ada yang berhujah. Ini cara nak didik. Ini usaha kita mendidik. Memastikan anak-anak kita solat ketika di bawa penjagaan mereka. Mungkin ada juga cikgu/ustaz/ustazah yang agak nakal memberi hujah semisal, “Nak malu apa?” Dek kerana ada di kalangan mereka yang pernah tertangkap melakulan perkara yang salah seperti menonton filem lucah, lesbian, onani, gugurkan anak, dan ditangkap khalwat.

Tanyalah guru-guru di sekolah menengah. Itulah masalah remaja hari ini yang mereka hadapi sehingga hari ini. Kalau zaman aku pun ada pelajar-pelajar seperti itu. Mustahil zaman ini yang dengan hanya satu click sahaja sudah boleh tengok macam-macam tidak berlaku lagi perkara-perkara tersebut.

Tetapi persoalannya. Adakah tindakan memeriksa haid pelajar dengan meraba mereka itu sesuatu yang dituntut syara’? Walaupun dengan alasan mendidik untuk solat?

Memang benar alasan mendidik dilihat sangat kuat. Tetapi adakah ia ditunjuk oleh Allah dan Rasulnya? Diamalkan oleh para salaful ummah?

Jawabnya TIDAK!
Perbuatan tersebut adalah SALAH!
Mencari-mencari kesalahan orang lain adalah SALAH! Hatta dengan alasan mendidik!

Perkara ini dalam bab larangan tajassus. Perbuatan tajassus adalah salah. Apa itu tajassus. Tajassus adalah perbuatan mencari-mencari salah/buruk orang. Mengintip-intip salah/buruk orang.

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu melakukan tajassus (mencari-cari kesalahan/ keburukan orang).
[Al-Hujurat 49: 12]

Solat adalah rukun Islam. Ia sangat penting. Tetapi ia diantara Allah dengan hambanya. Kerja kita hanya mengajak dan menyampaikan seruan dan dakwah. Orang taknak solat, bukan kerja kita nak menghukum. Lebih-lebih lagi jika orang itu telah memberi alasan yang syar’i seperti dia datang haid.

Nabi SAW juga telah menegaskan sekali lagi tentang larangan tajassus.
‎عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ، فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
Dari Abu Hurairah, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam , beliau bersabda, “Jauhilah prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu berita yang paling dusta. Dan janganlah kamu melakukan tahassus, tajassus, saling hasad, saling membelakangi, dan saling benci. Jadilah kalian bersaudara, wahai para hamba Allâh!”.
[HR. Al-Bukhâri no. 6064]

Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah berkata, “Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam ‘janganlah kamu melakukan tajassus, janganlah kamu melakukan tahassus’, ada yang mengatakan bahwa kedua kata itu memiliki makna yang sama, iaitu: mencari tahu berita-berita.

Ada yang mengatakan: keduanya berbeza, tahassus yaitu engkau berusaha mendengarnya sendiri, sedangkan tajassus iaitu engkau menyelidiki berita-berita melalui orang lain. Ada yang mengatakan, tahassus adalah berusaha mendengar pembicaraan orang-orang, sedangkan tajassus adalah mencari-cari keburukan-keburukan. Dari sini dan lainnya diketahui, bahawa seseorang tidak boleh mencuri dengar dari rumah orang lain, dan tidak boleh mencium atau menyentuh pakaian orang lain, agar dia mendengar atau mendapatkan bau atau mendapati kemungkaran.

Dan tidak boleh mencari berita dari anak kecil suatu rumah, atau dari jirannya, untuk mengetahui apa yang terjadi di dalam rumah tetangganya. Memang benar, jika ada seseorang yang jujur memberitakan berkumpulnya orang-orang yang sedang melakukan maksiat, boleh menceroboh tempat mereka dengan tanpa izin, ini dikatakan oleh al-Ghazali”.
[Az-Zawajir ‘an Iqtirâfil Kabâir, 2/268]

Perlu diketahui bahawa perbuatan tajassus ini termasuk dalam dosa-dosa besar sebagaimana yang ditulis oleh Az- Dzahabi dalam al-Kabaair dan Ibnu Hajar al-Haitami dalam az-Zawajir.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: وَمَنِ اسْتَمَعَ إِلَى حَدِيثِ قَوْمٍ، وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ، أَوْ يَفِرُّونَ مِنْهُ، صُبَّ فِي أُذُنِهِ الآنُكُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Dari Ibnu ‘Abbâs Radhiyallahu anhu, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam , Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa berusaha mendengarkan pembicaraan orang-orang lain, sedangkan mereka tidak suka (didengarkan), atau mereka menjauh darinya, maka pada telinganya akan dituangkan cairan tembaga pada hari kiamat.”
[HR. Al-Bukhâri no. 7042]

Ibnu Hajar al-Haitami berkata, “Perbuatan tajassus ini dikategorikan dosa besar tampak jelas di dalam hadith ini, walaupun aku tidak melihat Ulama menyebutkannya. Kerana dituangkan cairan tembaga pada dua telinga pada hari kiamat merupakan ancaman yang sangat keras. Kemudian aku lihat sebagian Ulama menyebutkannya”.
[Az-Zawâjir ‘an Iqtirâfil Kabâir, 2/268]

Kisah yang sangat popular dari Umar yang telah terbuat tajassus ketika dia menjadi khalifah wajar diambil iktibar oleh para guru.
‎حَدَث عُمرُ أَنَّ أبَا محجَن الثَّقَفِي يَشرَبُ الخَمْرَ مَعَ أَصحَابٍ لَهُ فِي بَيتِهِ فَانطَلَقَ عُمَرُ حَتَّى دَخَلَ عَلَيهِ فَإِذَا لَيسَ عِنْدَهُ إِلَّا رَجُل فَقَالَ أبُو محجَن: إِنَّ هَذَا لَا يَحلُّ لَكَ قَد نَهَاكَ اللهُ عَنِ التَّجَسُّس ِفَخَرَجَ عُمَرُ وَتَرَكَه
Maksudnya: Umar menceritakan bahawa Abu Mihjan al-Thaqafi minum arak bersama para sahabatnya di rumahnya, lantas Umar menuju ke rumah tersebut dan masuk, didapati tiada di sisinya kecuali seorang lelaki, lantas berkata Abu Mihjan: “Sesungguhnya ini tidak halal bagi kamu dan Allah melarangmu daripada Tajassus (mengintip).”

Maka Umar keluar dan meninggalkannya.
[Riwayat Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (10/232)]

Manakala tentang solat pula, cukuplah segala ancaman yang telah disampaikan kepada kita melalui Quran dan Sunnah. Sehingga Nabi SAW pernah terfikir untuk membakar rumah-rumah mereka yang tidak ke masjid untuk bersolat. Tetapi tidak pula Nabi lakukan. Boleh sahaja Nabi mengarahkan para sahabatnya mengetuk dan memeriksa satu persatu. Tidak juga ia dilakukan.

Cukuplah azan mengajak orang beriman untuk bersolat. Selebihnya biarlah urusan diantara tuhan dan hambanya. Tugas kita hanya menyampaikan. Sampaikanlah tentang kelebihan bersolat, pahala dan ganjaran. Juga ancaman dan dosa meninggalkan solat. Begitulah yang diajar oleh para salaful ummah.

Bukan dengan kita melakukan tajassus dengan meraba dan memeriksa kata-kata mereka secara berlebihan. Kalau mereka menipu pun, mereka tidak mampu menipu Allah, tuhan yang maha mengetahui. Sebagai guru, tanggungjawab itu diteruskan selagi gaji dibayar. Hidayah itu milik Allah.

Kalau hati sekeras Umar al-Khattab boleh dijinakkan apabila hidayah Allah sudah sampai, inikan pula anak-anak perempuan yang masih remaja. Teruskan ajak dan jangan lupa doakan mereka.

Allah sayang kan?

😉

Mengenai penulis

Tambah komen

Admin

Who is aLiph.My?

Official blog of Aliff Ahmad (Aliff Shariffuddin) also known as Abu Fedora al-Turkistani. His real name is Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin. The co-founder of Scrut.my , Ifmal.com , Idsb.my and Coin.my.