Bila aku tulis kisah taubat mantan selebriti, ramai pula yang tulis, copy dan rembat. Takpalah. Asal mesej sampai. Tapi malam ini aku nak kenalkan dengan seorang lagenda yang jauh lebih mulia dari kalangan manusia biasa.
Jika seorang ahli taubat itu mulia, maka Fudhail bin Iyadh itu penghulu kepada sekalian ahli taubat. Kenapa? Kerana beliau ialah mantan penyamun yang akhirnya menjadi imam kepada umat ini. Imam Fudhail bin Iyadh rahimahullah, Imam kepada para ahli hadith dan ahli fiqh di zaman salaful soleh. Imam kepada kita semua kaum muslimin.
Korang kenal tak?
Kisahnya begini, Imam Fudhail dahulunya seorang penyamun dan perompak yang digeruni. Dia menguasai suatu kawasan dan menyamun rombongan perdagangan orang arab ketika itu. Kisah taubatnya bermula ketika beliau ternampak seorang perempuan cantik. Diikutnya wanita itu dan merancang untuk skodeng wanita itu dari atas pokok.
Tiba-tiba dia terdengar ada seaeorang membaca ayat Quran,
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِيْنَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوْبُهُمْ لِذِكْرِ اللهِ وَماَ نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلاَ يَكُوْنُوا كَالَّذِيْنَ أُوْتُوا الْكِتاَبَ مِنْ قَبْلُ فَطاَلَ عَلَيْهِمُ اْلأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوْبُهُمْ وَكَثِيْرٌ مِنْهُمْ فاَسِقُوْنَ
“Belum datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka yang digunakan untuk mengingati Allah serta tunduk kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya yang telah turun Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras, dan majoriti mereka adalah orang-orang yang fasiq.”
(Surah Al Hadid: 16)
Terdengar ayat Quran itu, beliau menjawab di dalam hatinya, “Tentu saja wahai Rabbku. Sungguh telah tiba saatku (untuk bertaubat).”
Terus beliau turun dari pokok dan memulakan kembara taubatnya. Ketika beliau sedang berlindung di sebalik runtuhan binaan, beliau terdengar kafilah dagang berkata:
“Kita jalan terus!”
Sebahagian yang lain berkata:
“Kita jalan terus sampai pagi, kerana biasanya Al-Fudhail menghadang kita di jalan ini.”
Kata Imam Fudhail ketika menceritakan kisah ini.
“Kemudian aku merenung dan berkata: ‘Aku menjalani kemaksiatan-kemaksiatan di malam hari dan sebagian dari kaum muslimin di situ ketakutan kepadaku, dan tidaklah Allah menggiringku kepada mereka ini melainkan agar aku berhenti (dari kemaksiatan ini). Ya Allah, sungguh aku telah bertaubat kepada-Mu dan aku jadikan taubatku itu dengan tinggal di Baitul Haram’.”
Beliau memulakan kembara taubatnya di Kufah dengan belajar dengan para Imam-imam besar seperti, al-‘Amasy, ‘Atha’, Sufyan al-Tsauri dan Safwan ibn Salim sehingga beliau sendiri menjadi salah seoramg ‘alim besar di zamannya. Bahkan namanya dinukil indah sebagai antara imam-imam salaf yang besar.
Sewaktu hidupnya. Imam Fudhail sangat tawadhu’, tidak mahu dikenali dan tidak sukakan populariti. Segala jawatan dan hadiah yang ditawarkan ditolak kesemuanya kecuali hadiah dari sahabat beliau, Imam Abdullah Ibn Mubarak rahimahullah.
Dikatakan sifat zuhud beliau adalah bukti taubat beliau. Kata al-Mizzi, Imam Fudhail sangat kuat ibadah, soleh, kuat hafalannya dan disepakati integriti dan kemuliaanya sehingga dia digelar Abidul Haramain (Ahli Ibadah 2 kota haram). Bagi mereka yang mengaji aqidah, hadith dan fiqh, pasti tidak lekang mendengar nama beliau.
Dari seorang perompak, beliau menjadi seorang imam di kalangan tabi’in dalam kurun yang mulia. Kalam beliau yang aku ingat sehingga hari ini. Kalam yang baik untuk kita tempa dengan tinta emas,
Kata Imam Fudhail bin Iyadh :
“Kalau kamu dapat buat agar kamu tidak dikenali maka lakukanlah. Tidak mengapa jika kamu tidak dikenali. Tidak mengapa jika kamu tidak dipuji. Tidak mengapa jika kamu dicerca orang asalkan kamu dipuji Allah SWT.”
(Kitab al-Tawadhu’ wa al-Khumul, Ibn Abi al-Dunya hal. 110)