Sama ada kita suka atau tidak suka, aku berpandangan Malaysia adalah negara Islam kerana asalnya negara bertuah ini diduduki oleh majoriti umat Islam. Majoritinya sehingga hari ini beragama Islam dan agama rasmi persekutuan adalah agama Islam.
Mungkin Islam-nya tempang tak cukup sifat. Tetapi tetap Islam. Sebagaimana seorang pendosa, berzina dan minum arak, tetapi, selagi ia masih solat, masih bertauhidkan Allah, ia masih lagi seorang Muslim, tetapi bukanlah Muslim yang cukup sifat dalam amalannya. Begitulah Islam di Malaysia.
Seorang Muslim pendosa kekal seorang Muslim dan akan diampunkan dosa-dosanya sekiranya dia bertaubat.
Firman Allah SWT:
وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(Surah al-Nisa’: 110)
Dosa juga terbahagi kepada 2 sifat. Dosa yang sifatnya peribadi dan dosa awam yang melibatkan kerosakan kepada masyarakat.
Dosa peribadi ini mungkin berzina, main judi, minum arak sendiri-sendiri, tak bayar zakat, taknak puasa dan malas solat. Bahkan, jika kita murtad sendiri-sendiri pun masih dianggap dosa peribadi.
Manakala dosa awam adalah seperti merogol, mencuri, rasuah, membunuh, menghina, mendera, dan mencerca orang lain. Kerana Islam itu agama bermasyarakat yang sangat menjaga maslahah ummah.
Cumanya, dosa peribadi boleh menjadi dosa awam sekiranya di-syiar-kan. Sebagai contoh, berzina secara terbuka, mengaku taknak solat secara terbuka. Begitu juga murtad dengan menghina agam Islam secara terbuka.
Yang lebih parah adalah menghina dan mempertikaikan ritual agama secara terbuka. Nabi SAW dihina, Allah juga dipermain-mainkan secara terbuka. Ia jelas perbuatan murtad yang mencabar agama Islam.
Kisah Abu Bakar RA memerangi orang taknak bayar zakat bukan sebab seorang dua orang, tetapi mereka menafikan zakat dan berkempen kepada yang lain jangan bayar zakat. Di Malaysia, agama Islam dinaungi oleh raja-raja Melayu yang beragama Islam. Dengan mufti dan ahli majlis fatwa, ber-Majlis dan ber-Jabatan. Undang-undang enakmen berdiri sendiri. Zakat dipungut dan infaq dipinta daripada kaum Muslimin.
Berapa gaji Mufti? Berapa gaji Pengarah Jabatan? Berapa gaji CEO Majlis? Berapa elaun ahli Majlis? Jangan tanya, nanti masuk Melaka kata mereka yang sudah trauma dengan birokrasi lembaga beradat bertakhta payung kuning.
Di persekutuan pula, ada menteri yang tidak tahu apa peranannya di saat agama Islam dicabar kiri dan kanan, dihina dan ketawakan. Berapa ya gaji menteri agama? Dicampur elaun-elaun? Berapa ramai para pekerja yang dibayar gaji untuk membantu Beliau?
Ya, aku faham mereka semua sayang gaji, sayang jawatan dan sayang kuasa. Mereka boleh kilas sana sini dengan pelbagai dalil dan khilaf. Cuma aku tertanya-tanya, jika banyak sangat excuse dan kungfu, kaum Muslimin tak happy, apa guna segala Jabatan dan Majlis itu diwujudkan?
Kalau orang bukan Islam menghina agama Islam, diambil tindakan dengan undang-undang jenayah persekutuan. Yang bertudung labuh bersuamikan lebai menghina Islam, Nabi SAW dan segala ajaran Islam lebih daripada 5 kali. Takda tindakan sehingga hari ini?
Adakah jika kita mengaku kita seorang Muslim, bertudung labuh dan berketayap lebai, kita dibenarkan menghina agama Islam? Yang bukan Islam hina Islam kita faham dah. Jangan sampai nanti pembenci Islam masuk Islam main-main hanya untuk menghina dan merosakkan Islam menggunakan tiket seorang “muslim”.
Itulah sebabnya orang berani menghina Nabi kita, agama kita dan ajaran kita. Kenapa? Yang ada kuasa tak buat kerja sungguh-sungguh. Takda strategi dan hanya melukut menunggu angin lalu. Menadah tangan terbuka untuk menakung air.
Aku ingin bertanya kepada para pemakan gaji dan elaun di dalam Majlis dan Jabatan Agama di Malaysia dan negeri-negeri di dalamnya.
“Kalaulah Umar RA masih hidup, apa yang dia akan berijtihad apabila Nabi SAW dihina secara terang terangan?”
Tepuk dada, tengok cermin, tanya iman. Jangan tepuk poket, tengok bank akaun pula!
ps : Hina raja dan pm laju je diambil tindakan. Kan?