Allah tidak pernah membenci talaq atau penceraian, bahkan hadis-hadis yang berkaitan kesemuanya terdapat ‘illah (kecacatan) sama ada ia dhaif ataupun mungkar sahaja.
Jika talak itu dibenci, mustahil Nabi SAW pernah mentalakkan Hafsah, para sahabat juga ada yang pernah bercerai, begitu juga para salaful ummah pada kurun yang terbaik.
Begitu juga tentang poligami. Bukan semua wanita membencinya. Ada yang ok, ada yang tidak. Terpulang kepada keimanannya dan pola pemikirannya.
Jika poligami itu tidak digalakkan, sudah pasti Nabi SAW tidak melakukannya, para sahabat RHum tidak melakukannya, bahkan sudah pasti ia tentang oleh wanita-wanita di zaman itu.
Tidak mengapa. Kita berhak memilih mana satu pilihan kita. Setiap orang ada alasannya. Tetapi yang pasti, poligami juga syariat sebagaimana talaq dan nikah itu juga syariat.
Segala alasan yang wujud untuk menafikan poligami hanyalah ciptaan untuk menafikan kebaikan poligami. Yang hakikatnya pada monogami juga berlaku perkara tersebut.
Matematik mereka mudah, kalau 1 pun gagal, kenapa nak tambah lagi. Ini ayat loser.
Walhal, kahwin 1 pun boleh bergaduh, kahwin ramai pun boleh bergaduh. Kahwin 1 boleh takda masa, kahwin ramai pun boleh takda masa. Kahwin 1 pun boleh bercerai berai, kahwin ramai pun boleh bercerai berai.
Aku selalu sebut perumpamaan ini. Isteri yang membenarkan suaminya bernikah lagi ibarat lelaki yang keluar berjihad di barisan hadapan. Hati mereka sudah pasti berbolak balik, sedih dan takut. Semoga Allah merahmati golongan ini.
Aku pula memandang poligami ini sebagai solusi masalah sosial hari ini. Di saat ramai lelaki tak jadi “real man”, makin lembik dan makin loser, wanita ramai lebih berjaya. Maka pilihan untuk mendapat lelaki “real” makin berkurang. Sudah pasti lelaki awesome sudah dimiliki.
Maka ia solusi kepada hal tersebut. Apa nasib wanita yang tidak berkahwin tu nanti? Janda-janda dan balu-balu? Masalah sosial tetap akan bermula. Di barat, industri pelacuran dihalalkan sebagai solusi. Adakah negara kita akan menuju ke sana?
Hakikatnya, pusat karaoke, spa, rumah urut dan aktiviti sugar baby ini terus menjadi sambutan. Yang tahu, tahu. Yang tak tahu, elok tak tahu. Web atau apps hookup juga laku bak pisang goreng panas.
Ya, memang benar meminta cerai tanpa alasan yang kukuh adalah dilarang di dalam Islam. Tetapi, ada ke orang minta cerai tanpa alasan kukuh? Sudah pasti tidak. Pada kita mungkin lekeh. Pada mereka mungkin tidak.
Hatta, jika ada wanita yang minta untuk bercerai kerana suaminya nak berpoligami, aku kira ia alasan kukuh. Jika dia sudah tidak sanggup, kenapa hendak dipaksa. Nasihat aku kepada para suami,
“Suruh isteri anda buat permohonan untuk bercerai, then lepaskan jelah. Menunaikan permintaan manusia lain yang menurut syariat adalah perbuatan yang maaruf.”
Mungkin penceraian atau perpisahan itu penyelesaian yang baik untuk kedua-dua belah pihak. Berbaik-baiklah sebagaimana dulu masa bernikah. Jika ada anak, ia lebih wajib. Biarlah penceraian seindah perkahwinan.
Aku berpandangan undang-undang poligami ini tidak relevan seperti meminta izin isteri. Walhal syariat tidak menyuruh sebegitu. Jika dihalang di mahkamah, mereka boleh bernikah di luar negeri. Jika tidak, zina itu mungkin didekati.
Pada hari ini, zina itu lebih mudah dan lebih murah. Jika bukan kerana agama Islam mewajibkan berkahwin untuk melakukan seks, aku kira ramai yang lelaki akan jadi macam Critiano Ronaldo.
Dalam masa yang sama, proses penceraian juga harus dimudahkan dan dipercepatkan. Hal ini adalah perkara yang sering mahkamah atau jabatan agama dikritik keras. Mudahkan perkahwinan, poligami, mudahkan juga penceraian.
Kadang-kadang aku terfikir, dengan tadbir urus dan dokumentasi yang renyah, belum lagi dicampur dengan birokrasi, lebih menyusahkan agama untuk dipraktikkan. Adakah zina menurun dengan sistem yang ada hari ini?
Lawan kepada zina adalah nikah. Pengurusan institusi nikah kahwin sepatutnya punya matlamat yang jelas. Bukan sekadar membazirkan wang rakyat tetapi hasilnya seperti tiada institusi yang menguruskannya.
Siapa nak bercerai, silakan. Siapa nak nikah lagi silakan. Rasa tak setuju dengan undang-undang Islam versi Malaysia. Nikahlah ikut undang-undang Islam yang asal. Nanti hadap jela bayar denda. Korang nak nikah je, bukan merompak wang rakyat kan?