Daripada seorang anak buangan, dijumpai dan dijaga di rumah kebajikan, kemudian dibawa ke kondo neraka, sehingga dia trauma, kurus kering dan cedera parah.
Walaupun ada syaitan yang mengatakan adik Bella beruntung dapat tinggal di kondo mewah. Hairan bukan, sebelum adik Bella tinggal di kondo neraka itu, dia gebu dan tembam.
Ketika dijumpai di kondo, dia bagai menderita kesakitan. Disuruh makan najis, dipukul dan dibelasah. Separuh mati barangkali, bahkan adik Bella yang ketika itu positif covid pun dibiarkan tidak dihantar ke hospital.
Kisah hidupnya sangat tragis. Tak boleh dibayangkan. Sudahlah yatim piatu sebatang kara, oku dan masih belum matang, didera pula. Ketika rakyat Malaysia bangkit mahu menegakkan keadilan buatnya, ada beberapa kumpulan syaitan cuba menyekatnya.
Mereka berdusta kononnya adik Bella agresif, suka mencederakan diri sendiri pada mulanya. Kemudian katanya air panas tertumpah. Selepas itu kononnya didera oleh penghuni lain pula.
Apa yang pasti, yang cedera parah dan teluka adalah adik Bella. Yang makin kurus dan keding, adik Bella. Yang mendera makin buntal, makin kaya dan dihurung oleh langau-langau yang kelaparan.
Aku sangat percaya yang jauh di sudut hati adik Bella, dia sentiasa berdoa untuk dia hidup bahagia. Akhirnya, dia diselamatkan daripada kondo neraka dan seksaan durjana. Allah hantar dan gerakkan hati-hati manusia untuk bersatu padu bersama memperjuangkan nasib adik Bella.
Satu Malaysia, majoriti rakyat Malaysia bersama adik Bella. Yang bersama si pendera hanyalah kumpulan-kumpulan yang kita sudah maaruf punya masalah mental dan jiwa, poket dan iman. Yang lebih membingungkan musuh-musuh adik Bella apabila TMJ dan Che Puan melibatkan diri sekali.
Daripada gerakan rakyat marhaen, terbang ke kayangan pula apabila istana mendengar rintihan penindasan ini. Ada sahabat kata, kes adik Bella ini menjadi penunjuk aras pendirian setiap rakyat Malaysia.
Kita dapat melihat sekumpulan kecil manusia mendiamkan diri, sekumpulan kecil manusia bersama-sama pendera kerana roh mereka telah digadai, sekumpulan kecil manusia pula tidak menyokong adik Bella kerana membenci aktivis yang menjadi frontliner menegakkan keadilan untuk adik Bella.
Politikus-politikus, pejuang-pejuang human rights, aktivis-aktivis kanak-kanak, dapat dilihat wajah dan warna sebenar mereka dalam kes adik Bella. Ketidakbersamaan mereka memperjuang nasib dan keadilan buat adik Bella bukan satu misteri lagi.
Mereka hilang, senyap, sepi, sunyi dan sendu, mengambarkan betapa kejamnya jiwa mereka. Yang lebih jijik, dihantar dajjal-dajjal mee segera, tentera bayam dan otak lobak mengganggu dan mengecam saksi yang cuba bantu mendapatkan keadilan kepada adik Bella.
Aku yang mengikuti kes ini dari dalam dan luar, dari awal sehingga hari ini, merasakan sesuatu yang tidak kena dari awal lagi. Dari mula laporan dibuat sehingga dibicarakan. Aku tidak pelik, jika si pendera terlepas atau hanya dikenakan hukuman ringan sebagaimana aku telah menjangkakan ketika pertuduhan pertama dibacakan.
Tapi, aku bukanlah orang yang cepat give up. Selagi hidup, aku tidak akan diam. Aku akan bersuara. Aku akan berjuang. Walaupun aku tidaklah seradikal sesetengah individu yang sanggup menjadi murtad dan bersama murtadin demi sesuap duit cuci, tapi aku pendirian aku tetap tidak berganjak.
Selagi ada nafas, selagi itu aku akan melawan. Dunia ini bukan untuk kita bergembira semata, tetapi untuk kita berbakti. Membela yang lemah dan membantu yang susah. Aku taktau pula kalau ada yang menganggap adik Bella itu segagah ahli sumo atau sepetah pendebat universiti.
Apa pun, adik Bella telah merasai kemanisan hidup beberapa hari ini. Harap ianya kekal dan berpanjangan. Sekurang-kurangnya dia telah dipeluk oleh Che Puan Khaleeda dan dibawa ke Johor dan diraikan dengan penuh kasih sayang yang ikhlas.
Teringat aku ketika mengadap TMJ dan Che Puan, mereka telah diberitahu oleh Puan Mona yang Bella suka swimming pool dan Frozen. Che Puan sangat ingat dan meraikan Bella atas apa yang Puan Mona ceritakan.
Kami sangat terharu apabila ditunjukkan wajah ceria adik Bella di sana. Sekurang-kurang kami tahu, doa adik Bella sangat mustajab, itulah yang aku harapkan kelak. Aku tahu, adik Bella bukan sesiapa. Dia tak kenal DS Zahid Hamidi, dia tidak ada wang yang banyak, dia takda pasukan peguam yang boleh membantu aku.
Tapi aku percaya, doa adik Bella tiada hijab dan sampai kepada sang pencipta! Tiada apa yang lebih bernilai lebih daripada dunia dan segala isinya selain iman dan taqwa bersama pemilik doa yang tiada hijab..