Beberapa minggu lalu, aku dan syarikat aku di Wakanda sekali lagi mendapat surat kiriman pos biasa yang setelah hampir 1 bulan, baru tiba ke alamat yang dihantar. Yang mungkin boleh kena penalti kerana kononnya aku lambat bertindak. Walhal surat yang sampai lewat. Masa aku di Australia, surat dari tax office biasanya registered dan express. Di Wakanda, penalti lewat ni tinggi. Kalah riba’ ahlong yang dibenarkan iaitu 18% setahun, riba’ cukai di Wakanda 45% sebulan tau!
Yang menariknya urusan cukai aku dan syarikat aku di Wakanda tersebut sudah selesai. Tetapi surat dihantar dari cawangan lain pula. Aku jadi tak faham. Adakah penjawat cukai di Wakanda sedang kelaparan atau memang jahat dan tiada hati perut. Tidak buat homework, terus redah minta dokumen. Hati nurani mereka telah hitam pekat kerana mengejar bonus/insentif dengan menindas rakyat marhaen, peniaga sme yang sedang bertaruh nyawa menongkah gelora covid ini.
Aku faham, korang kerja, korang makan gaji, korang ikut sistem. Aku juga tahu yang sistem itu korang yang isi, kalau korang tak isi, sistem itu tak jalan. Aku juga cakna yang korang ada insentif/bonus selepas menindas rakyat marhaen, gaji korang sesen pun tidak ditolak di kala kami rakyat marhaen sedang struggle untuk survive. Aku juga tahu yang golongan kaya dan elitis boleh buat settlement dengan 1 panggilan phone dan dibuat di hotel.
Tapi, di kala pandemik melanda dunia, business tak boleh berjalan dengan betul, pengangguran berleluasa, hatta kerajaan melalui inisiatif Perhatian dan Penjunam juga membenarkan penangguhan bayaran cukai. Kalau penangguhan dibenarkan, kenapalah korang tidak boleh bersifat manusiawi dan insani dengan bertimbang rasa menangguhkan segala operasi mengejar marhaen seperti kami. Kejarlah segala kapitalis dan mereka-mereka yang menunjukkan kekayaannya di sosial media. Aku ni, kereta pun Axia Kompang je!
Syarikat aku hanyalah syarikat startup anak muda, syarikat sme yang baru memulakan perniagaan juga mahu diganggu oleh kalian semata-mata mahu mengejar KPI demi bonus/insentif di saat para pekerja dan usahawan sme telah memulakan pemotongan gaji. Bukanlah kapitalis jahat yang pernah membolot projek-projek kerajaan. Tidakkah korang cakna tentang hal ini?
Di Wakanda, aku tahu diorang boleh menggunakan kuasa mengugut dan mengancam rakyat marhaen dengan ancaman melakukan raid, sita, tahan passport dan membekukan akaun bank kami atas nama siasatan. Ancaman dan ugutan ini dibuat semata-mata untuk memaksa rakyat marhaen bersetuju dengan amount yang korang minta agar kpi korang tercapai demi bonus/insentif 7-8 bulan nanti. Sebab itu, aku nasihatkan kita semua, jika dipanggil oleh pejabat cukai Wakanda, rakam! Segala ugutan, ancaman dan janji-janji manis mereka mesti dirakam kerana penjawat cukai di Wakanda dikenali ramainya golongan munafik yang suka berdusta. Aku telah semak dengan beberapa ahli undang-undang, merakam tidak menyalahi undang-undang dan ia hak rakyat mempertahan diri yang tidak melanggar perlembagaan Wakanda!
Tidakkah korang berfikir yang rakyat marhaen sedang bergelut untuk hidup sekarang ini. Tidakkah korang punya sifat insani yang rakyat marhaen sedang menderita dihambat waktu sengsara. Tidakkah korang punya common sense yang peniaga sme sedang sibuk untuk melangkah hidup. Ah, korang memang selfish. Sudahlah politikus di Wakanda sedang bergelut kuasa dengan kematian rakyat marhaen yang semakin hari semakin meninggi. Korang pula menjadi agent yang mengganggu dan menambah tekanan kepada rakyat marhaen. Matinya SME, matilah ekonomi rakyat. Ini teori yang penjawat cukai di Wakanda harus tanam dalam benak akal kepala korang. Bila matinya ekonomi rakyat, itulah saat di mana penjawat cukai akan digigit dan diratah rakyat yang sudah menjadi zombi.
Suka aku ingatkan kepada korang penjawat cukai di Wakanda yang majoritinya Muslim yang aku percaya masih beriman dengan Allah dan Rasul dalam setiap keadaan, bukan beriman hanya di atas tikar sejadah sahaja. Ya, aku pernah jumpa seorang penjawat cukai di Wakanda yang sanggup murtad semata-mata nak cover line kesilapannya. Katanya,
“Dalam office saya tak bawa agama. Agama letak luar.”
Walaupun dahinya ada kesan hitam. Mungkin bukan kesan sujud yang lama, tetapi mungkin membela hantu.
Hukum memungut cukai terhadap rakyat marhaen adalah HARAM di sisi ISLAM. Ia dibenarkan hanya kerana MASLAHAH. Tetapi jika ia menjadi MAFSADAH kepada rakyat marhaen, aku kira hukumnya sudah menjadi HARAM kembali. Aku pernah tulis tentang hal ini. Takpa, aku ulang balik.
Kata pembesar mazhab Syafie, al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan:
“Pengutip cukai, penulisnya, saksinya, penjaganya, wakil-wakilnya, dan selain yang berkaitan dengan kutipan cukai merupakan dosa besar pembantu kezaliman, bahkan memungut cukai itu sendiri merupakan suatu kezaliman. Para pengutip cukai mengambil harta manusia secara haram dan mengagihkannya kepada orang yang tidak berhak. Oleh sebab itu, pengutip cukai tidak masuk syurga kerana dagingnya tumbuh daripada sumber-sumber haram.“
Dalilnya adalah firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)
Kata Imam Az-Zahabi tentang ayat di atas adalah :
“Pengutip cukai (al-maks) adalah antara golongan yang melakukan kezaliman kepada manusia, bahkan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Mereka mengutip apa yang mereka tidak berhak ke atasnya dan menyerahkannya kepada mereka yang tidak berhak ke atasnya.”
Selain itu, Firman Allah SWT:
وَيَا قَوْمِ أَوْفُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
Maksudnya: “Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.” (Surah Hud: 85)
Maksud ‘al-bakhs’ menurut Imam At-Tobari,
“Yang dilarang dalam ayat 85 surah Hud adalah larangan mengurangkan hak manusia yang wajib kamu penuhi (al-Tobari, 2000: 15/446), dan bagi setiap apa yang dimiliki oleh seseorang tidak boleh dirampas daripadanya atau diambil secara yang tidak dibenarkan oleh Syarak, serta segala pengurusannya mestilah berdasarkan keizinan Syarak (al-Razi, 1420H: 24/528). al-Khattabi (w388H) menjelaskan, pemimpin yang mengambil cukai (al-maks) secara zalim daripada rakyat adalah termasuk dalam maksud ‘al-bakhs’ yang dilarang dalam ayat tersebut (al-Khattabi, 1982: 1/219).
Kata Nabi SAW di dalam hadis pula.
Daripada Ruwaifi’ bin Thabit al-Ansari RA berkata, Sabda Nabi SAW:
إنَّ صاحبَ المكْس في النارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya pemimpin yang mengenakan al-Maks (sebahagian ulama menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka.”Riwayat Ahmad (4/109), al-Tabarani (4493) al-Suyuti (2290)
Daripada ‘Uqbah bin Amir RA berkata, Sabda Nabi SAW:
لا يدخُلُ الجَنَّةَ صاحِبُ مَكسٍ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga pengutip cukai.”
Riwayat Abu Daud (2937). Hadith ini mengikut pendapat Abu Daud adalah soleh atau boleh digunakan.
Yazid bin Harun menjelaskan, “Sohib maks ialah al-‘asysyar (pengutip cukai ‘usyur ke atas rakyat yang beragama Islam).” (al-Hakim, 1990: 1/562). Juga bermaksud pengutip cukai yang mengambil harta orang ramai secara haram (al-Asbahani, 2004).
Al-Maks juga bermaksud kutipan cukai yang biasanya digunakan merujuk kepada golongan yang melakukan kezaliman dalam proses jual beli (Muslim, t.th.: 3/1323).
Begitulah yang berlaku di Wakanda, walaupun aku telah pulang ke Malaysia, mereka masih menghambat aku. Aku harap pegawai-pegawai LHDN di Malaysia jauh lebih baik dari pejawat cukai di Wakanda. Aku berharap yang mereka sedar kerja mereka adalah kerana MASLAHAH, bukan melakukan MASALAH sehingga jadi MAFSADAH kepada rakyar marhaen. Aku percaya, pegawai-pegawai LHDN di Malaysia punya hati nurani yang baik, mendengar denyut nadi rakyat marhaen dan paling penting, tidak menindas rakyat marhaen kerana bonus 5-8 bulan.
Jika ada pegawai LHDN yang sedang kelaparan mengejar KPI demi bonus, ketahuilah kami di luar ini ada yang sudah takda gaji dan kelaparan di saat kalian semua masih bergaji penuh. Doakan kami rakyat marhaen tak jadi zombi.
Wallahu’alam..
Aliff
Warganegara Malaysia yang ditindas di Wakanda