KURSUS COPYWRITING GAYA NABI Adalah Penunggangan Agama Tanpa Syak!

K

Aku tak kiralah, siapa pun dia, sebesar mana pun jasa dia, tunggang agama untuk mendapat laba duniawi adalah perkara yang amat keji dan terkutuk. Mungkin kelas bisnes biasa-biasa sudah tidak laku, gaya korporat, gaya taukey Cina, gaya itu dan ini sudah tidak mendapat sambutan, maka tibalah masa untuk agama ditunggang!

Tunggang agama itu 1 hal, tunggang agama disandarkan kepada Nabi adalah sesuatu yang sangat bahaya! Kata Nabi dalam hadis yang sahih,

‎إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta ke atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia bersedia tempat duduknya di neraka.” (HR. Bukhari no. 1291 dan Muslim no. 4).

Makin ligat para penunggang agama menyandarkan produk mereka kepada Nabi, jika dahulu kurma Nabi, makanan sunnah, serban Nabi, jubah Nabi, capal Nabi, perubatan sunnah, dan sukan sunnah digunakan untuk melariskan jualan bisnes mereka. Kini mereka datang dengan naratif baru, kononnya hasil kajian linguistik pula!

Perlu diketahui, Nabi tidak dihantar untuk mengajar bikin bisnes, kerana sebelum kedatangan Nabi, manusia sudah berbisnes sekian lama, Nabi dihantar mengajak manusia kembali kepada tauhid, beribadah menurut petunjuk, memberi guideline muamalah dalam urusan duniawi, manusiawi dan menunjukkan akhlak yang baik.

Menyandarkan perbuatan Nabi sebagai manusia sebagai sunnah juga telah dibantah para ulama’. Sebagai contoh, Nabi naik unta, jadi sunnah travel adalah naik unta. Maka travel gaya Nabi adalah naik unta? Jawapannya tidak! Ia salah faham yang sangat fatal. Nabi tak vaksin, jadi perubatan gaya Nabi adalah menolak vaksin? Rumah Nabi dari tanah liat, maka bikin rumah gaya Nabi adalah dengan tanah liat? Banyak lagi contoh aku boleh keluarkan, cukuplah 3 itu.

Di dalam hadis yang cukup popular, kisah pendebungaan pokok kurma orang Madinah dibantah Nabi, yang akhirnya Nabi membenarkan. Kata Nabi,

“Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.”

Ini menunjukkan hal duniawi, bab muamalah Nabi biarkan kita sendiri decide. Dalam masa yang sama, usul fiqh dalam perkara muamalat juga berbunyi,

“Asal sesuatu perkara (muamalah) itu harus, melainkan dibuktikan sebaliknya.”

Jadi dalam hal bisnes, marketing, copywriting, pengurusan, politik, sosial dan lain-lain, semuanya boleh, semuanya harus. Asalkan tidak melanggar guideline yang ditetapkan syariat. Nak buat copywriting gaya Warren Buffet, gaya Tuan Bukhari, gaya Pidomat, gaya Hitler, gaya Trump, kuak lentang, atau gaya bebas, buatlah selagi tiada dalil yang melarang. Tiada yang spesifik dari syariat. Tidak seperti hal akidah dan ibadah yang memang disyariatkan untuk ikut gaya Nabi!

Untuk aku berlaku adil, aku telah mendengar penjelasan orang itu, selepas aku habis mendengar, aku simpulkan memang dia mahu tunggang agama, tunggang Nabi! Dia mengatakan copywriting gaya Nabi adalah gaya Nabi menjual idea. Dia memberi contoh Nabi menggunakan fadhilat (value) & targhib (pujukan) untuk menjual idea. Yang benar tentang hal tersebut adalah, Nabi bukan menjual idea, Nabi menyampaikan syariat melalui fadhilat, targhib dan tarhib (ancaman). Atas sebab itu wujudnya, hukum seperti fardhu, wajib, mubah, afdhal, sunat muakkad, sunat, makruh dan haram.

Cuba bayangkan jika teknik copywriting gaya Nabi ini gagal mendapat sales atau reach, maka adakah Nabi salah? Oh, mungkin agama akan ditunggang sekali lagi dengan diseru ke kursus seterusnya. Dalam kelas seterusnya mungkin akan diceritakan walaupun Nabi telah menjual idea melalui value kepada penduduk Thaif, tetapi hidayah milik Allah. Sebagaimana kisah kematian Abu Thalib, tiada “copywriting” yang lebih hebat dibuat Nabi melainkan untuk Abu Thalib. Kata Nabi,

‎أَيْ عَمِّ، قُلْ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، كَلِمَةً أُحَاجُّ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللهِ.

“Pakcik, ucaplah laa ilaaha illallah. Sebuah kalimat yang nanti akan ku bela engkau di hadapan Allah.”

Tetapi, Abu Thalib tidak “membeli idea” tersebut walaupun copywriting itu paling gempak dalam sejarah manusia sejagat! Mana kau nak dapat Nabi nak jadi pembela depan Allah kelak, dengan kau terima Islam masa nazak!

Rumusan dan kesimpulannya,

1. Tiada copywriting gaya Nabi. Melainkan dia mahu menunggang agama melalui nama Nabi.

2. Copywriting adalah perkara muamalat yang sangat luas. Pakailah gaya dan cara apa sekali pun, agama tiada arahan/ajaran spesifik bagaimana ia perlu dilakukan. Asalkan tidak melakukan hal yang ditegah syariat.

3. Menyandarkan kepada Nabi atas perkara yang syariat tidak maksudkan adalah pendustaan dan salah faham ke atas Nabi.

4. Jangan sandar kepada Nabi atau sunnah jika ia tidak tsabit dan sahih dari Nabi.

5. Jangan memulakan sesuatu trend yang akhirnya mendatangkan fitnah kepada Nabi. Akan wujud nanti ramai manusia yang akan menyandarkan apa sahaja yang ingin dijual kepada Nabi. Jangan pelik akan muncul pelbagai produk marketing yang disandarkan kepada Nabi selepas ini.

Ps 1 : Eloklah buat kelas bisnes gaya ABS. Ceritakan gaya apa yang digunakan untuk menjual idea kepada Azri Walter, kemudian gaya apa yang menyebabkan Azri Walter meninggalkan ABS.

Ps 2 : Ceritakan pula bagaimana bisnes gaya PTS yang menyelar penerbit buku Indie, kemudian PTS sendiri menerbitkan buku ala-ala Indie yang sampah pengisiannya.

Kau tak setuju? Takpa, ini wall aku. Pandangan aku. Ini gaya aku. Ini bukan penulisan gaya Nabi!

Aliff Ahmad
co-Founder SCRUT
www.scrut.my

Mengenai penulis

Tambah komen

Admin

Who is aLiph.My?

Official blog of Aliff Ahmad (Aliff Shariffuddin) also known as Abu Fedora al-Turkistani. His real name is Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin. The co-founder of Scrut.my , Ifmal.com , Idsb.my and Coin.my.