Ada orang minta aku komen. Benda ni hal lama. Aku nampak hal ini jadi besar bila orang berilmu tidak berlaku adil, yang jahil mengambil kesempatan.
Hadis tersebut memang dhaif dari sudut sanad, tetapi fiqhnya terpakai. Bahkan dipakai dalam usul taat kepada pemerintah dalam hal yang makruf kerana ia disokong dengan hadith-hadith lain dan atsar-atsar para salaful ummah yang lain. Banyak kitab telah membahas hal ini sejak lama dulu.
Sebagai contoh, Imam Tirmizi meriwayatkan hadith yang seakan sama dengan hadith yang dikeluarkan oleh JAKIM seperti di bawah ini dan menghukumnya hasan gharib.
مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah, Allah maka Allah akan menghinakannya”.
Walaupun aku bukanlah orang monarki atau berjiwa feudal. Tetapi aku tetap bersetuju akan larangan menghina pemerintah. Aku kira rakyat juga wajar ditegur sebagaimana kita mengharapkan JAKIM menegur pemerintah.
Hadith kepada rakyat mesti ditujukan (dibacakan) kepada rakyat, begitu juga hadith kepada pemerintah mesti ditujukan (dibacakan) kepada pemerintah.
Bukan hadith kepada rakyat, dibacakan kepada pemerintah, hadith kepada pemerintah dibacakan kepada rakyat. Jika amalan ini diteruskan, negara akan rosak binasa!