Masa aku kecil, kami hidup susah. Sehari makan sekali sahaja. Hari-hari mak aku kasitau, kita ni orang susah, jimat-jimat, makan jangan membazir, jangan buang-buang, belajar rajin-rajin.
Masih aku ingat, berat aku masa darjah 1 hanyalah 18kg, anak aku 26kg. Bukti aku memang kekurangan makanan ketika itu. Aku bukan anak sulung, jadi aku sentiasa dapat barang warisan dari abang aku.
Baju, seluar, beg, kasut, kotak pensil, buku.. Semuanya dari sisa bagi kegunaan abang aku. Jiwa aku sentiasa memberontak. Aku selalu mengadu dekat mak aku. Mak aku selalu pesan,
“Cuba tengok anak makcik kebun getah tu, dia pakai beg plastik je buat beg sekolah..”
Ada 1 keluarga kematian ayah di kawasan kampung aku, memang sangat dhaif kehidupanya. Shahidan Kassim tak tolong pun. Mungkin takda political mileage ketika itu.
Jadi bila mak aku bandingkan kehidupan kami dengan mereka, aku terpaksa mengalah. Tapi aku buat inisiatif sendiri. Aku jual biji getah dekat anak-anak taukey Cina yang tak pernah masuk hutan.
Masa aku darjah 1, akulah supplier biji getah tersohor. 5 biji 10 sen. Aku ajar mereka lawan biji getah, aku tak lawan. Aku supply saja. Setiap petang aku kutip biji getah.
Bila cukup cukup RM7, aku beli beg Ninja Turtle warna hijau dekat pekan Padang Besar. Steady siot rasa time tu. Bisnes biji getah aku tak sustainable kerana ada cikgu yang tangkap aku jadi supplier.
Aku tak faham ketika itu. Aku tertanya-tanya, salahkah budak sekolah main biji getah? Salahkah aku berniaga? Entahlah. Aku dirotan dan diugut akan dibuang sekolah kerana aku cuba menjawab.
Sekarang ini aku lihat anak kecil sudah pakai LV, Ralph Lauren, Channel, dan macam-macam lagi jenama yang aku tak pernah kenal ketika aku kecil. Paling hebat ketika itu adalah Kiko dan Kiki Lala. Dapat Crocokids pun dah kira bergaya.
Bila terlihat gambar anak di bawah, aku teringat keluarga makcik kebun getah itu. Harap mereka sudah senang. Buat anak di bawah, teruskan belajar. Ilmu akan mengubah kehidupan kau kelak.
Jangan kau harap menteri pendidikan yang bergaji puluhan ribu itu untuk bantu kau. Dia sudah enak dan sedap di kerusi empuk first class. Berusahalah dan berharap hanya kepada Allah Rabbul Jalil.