“Jangan menunjuk apa yang kita ada, jangan cerita apa yang kita takda..”
Isteri-isteri kita bukanlah Aisyah rha., Khadijah rha., Sumaiyah rha., atau Siti Hajar rha. Kita juga bukanlah Nabi saw., hatta nak dibandingkan dengan sahabat kecil pun jauh sekali. Maka sedarlah kita bahawa kita sama-sama dan masing-masing lemah dan tidak sempurna.
Beberapa ancaman yang mesti kita ketahui yang ada pada orang lain dan juga diri kita sendiri adalah :
1. Penyakit ain.
2. Istidraj.
3. Hasad dan dengki.
4. Cemburu.
5. Riyak.
Sudah menjadi resam atau lumrah manusia suka menunjuk apa yang dia ada dan cerita apa yang dia tiada. Maka, pada pagi raya ini, aku menasihatkan aku dan kita semua untuk korbankan perasaan hati yang sentiasa mahu menunjuk. Lebih-lebih lagi di zaman sosial media hari ini.
Apa kau belikan untuk isteri atau suami. Apa barang mahal kau beli semalam. Apa kau dapat dari isteri atau suami. Elakkan dari kerap menunjuk. Kurangkan jika boleh. Hentikan itu lebih afdhal. Apa pun niat kita yang akan dihukum nanti nanti. Perbetulkanlah niat.
Penyakit ain boleh terkena. Ujian istidraj mungkin berpanjangan. Orang dengki dan hasad dengan kita. Kita juga dengki dan hasad dengan orang lain. Cemburu melihat “kebahagiaan” orang lain walhal adakah benar mereka benar-benar bahagia dan gembira. Riyak dengan apa yang kita ada. Nampak indah tetapi sebenarnya fatamorgana.
Dunia ini tidak lebih bernilai dari sebelah sayap nyamuk kata para ulama’ yang rabbani. Di pengakhiran hidup, kita hanya memakai kain kafan sahaja. Hanya iman dan amal yang akan dibawa sebagai teman kelak. Follower-follower kita takkan mampu memberi syafaat. Orang yang kau follow pun takkan mampu berikan kau sebarang manfaat dari kehidupan yang dia pertontonkan.
Apabila kita berkereta, lihatlah orang yang hanya ada motosikal. Jangan dilihat mereka yang ada private jet. Yang bermotosikal, lihatlah mereka yang hanya berbasikal cabuk. Jangan dipandang mereka yang memandu kereta mewah. Yang boleh berjalan, lihatlah mereka yang tidak boleh berjalan, jangan dilihat mereka yang memecut dengan motosikal berkuasa tinggi. Nescaya kau akan sentiasa bersyukur. Syukur itu penangkis hasad dengki, riyak dan takabbur.
Tuhan itu maha adil. Setiap kelebihan pasti ada kekurangan. Setiap kekurangan pasti ada kelebihan. Hikmah Allah itu infiniti. Tanpa had dan beyond logic. Maka bersyukurlah dengan apa yang kita ada dengan berkorban zahir dan batin, jiwa dan raga untuk mendapat redha Allah. Dunia ini jauh lebih luas dari kehidupan kau dan lebih bermakna dari lakonan dalam sosial media.
Apabila kau rasa nak menunjuk, ingatlah yang semua itu dari Allah, bersyukurlah. Apabila kau rasa nak mengadu kekurangan hidup kau, mengadu dan mintalah kepada Allah, tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Ikutlah lunas-lunas yang betul dan profesional tanpa mengganggu gugat pihak lain.
Bahagia itu pilihan. Kau boleh bahagia walaupun kau tinggal di bawah jambatan. Kau tetap sengsara walaupun kau tinggal dalam istana kalau kau pilih untuk tidak bahagia. Bahagia itu rahsia kita dan pilihan kita. Bukan ikut-ikut orang atau yang ditunjukkan dalam drama dan novel. Takkan bahagia jika kau membandingkan diri kau dengan orang lain. Ingat, semu manusia itu unik. Kau juga unik. Kau ada takdir kau, dia ada takdir dia.
Bahagia itu lahir dari pengorbanan. Lihatlah betapa bahagianya Ahli Badar selepas pengorbanan membawa nyawa untuk memegang panji Allah menuju syahid. Sehingga kata Nabi, Ahli Badar itu, dosa mereka diampunkan sebelum dan selepas itu. Buatlah sesuka hati mereka.
Hayati pula pengorbanan Siti Hajar yang akhirnya mendapat kebahagian yang kekal sehingga hari ini dengan ibadah haji di tanah gersang Mekah dan sa’i. Manifestasi pengorbanan menahan hati yang lara akhirnya terbayar di dunia lagi dengan anaknya Ismail diangkat menjadi Nabi. Jangan lupa, setelah ditinggalkan, suaminya Nabi Ibrahim diarahkan pula menyembelih anaknya.
Pengorbanan Imam Al-Bukhari yang mengumpul hadis-hadis sahih sehingga dia difitnah, dihalau, dah akhirnya mati dalam buangan. Namun hari ini, namanya bintang yang terus bersinar tidak terpadam. Kitabnya dikatakan paling sahih selepas Quran. Dibuktikan secara saintifik dan ijma’. Itulah bahagia yang dia pilih.
Pilihlah jalan bahagia yang menjanjikan pulangan yang kekal selamanya.
Jangan menunjuk apa yang kita ada, jangan cerita apa yang kita takda..
Selamat hari raya! Semoga Allah terima pengorbanan kita!