Mungkin tulisan ini agak terlewat. Tetapi selepas ini, marilah kita sama-sama berazam untuk diamalkan.
Korang tahu tak, dikatakan ketika Tatar dan Mongol melanggar dunia Islam Baghdad, selain mereka melarang laungan azan, mereka juga mengharamkan kaum lelaki menyembelih haiwan pada hari raya Eid Adha.
Kenapa? Kerana menurut mereka, dengan menyembelih haiwan, lelaki Islam menjadi berani sebagaimana laungan azan mampu menaikkan semangat orang Islam.
Dalam Islam, ada ibadah yang perlu disyiarkan ada yang tidak. Selain laungan azan, solat berjemaah, merayakan 2 hari raya adalah ibadah yang perlu disyiarkan.
Hadis menyebut Nabi menyuruh umat Islam, lelaki dan wanita berkumpul di tanah lapang, uzur atau tidak. Yang boleh solat atau tidak, semuanya diseru untuk berhimpun pada hari 2 hari raya kerana syiar.
Manakala sunnah menguruskan haiwan korban adalah mereka yang berkorban itu sendiri menyembelih haiwannya dan merasa sembelihannya. Pendek kata, kau sendiri sembelih, kau sendiri menjamah daging korban. Itu sunnahnya.
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْأَضْحَى بِالْمُصَلَّى، فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وأُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ، وَقَالَ: «بِسْمِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، هَذَا عَنِّي، وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي
Daripada Jabir bin ‘Abd Allah, beliau berkata: “Aku menyaksikan perlaksanaan korban bersama Rasulullah s.a.w di musolla (lapangan solat hariraya). Apabila baginda selesai khutbah, baginda turun dari mimbar, lalu dibawa kepada baginda seekor biri-biri. Maka, baginda menyembelihnya dengan tangan baginda dengan menyebut: “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ini daripadaku dan daripada sesiapa yang tidak melakukan korban dari kalangan umatku.” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll -sahih-)
Atas sebab itu lebih afdhal melakukan korban di tempat sendiri, kampung sendiri. Kalau ada lebihan wang, barulah berkorban di luar negara dengan niat sedekah. Bukan korban di luar negara menjadi keutamaan.
Ketika di Australia, aku dan rakan-rakan setiap tahun menyembelih haiwan korban sendiri. Di Malaysia ini, aku tidak berminat sangat kerana melihat teknik dan cara mereka menguruskan haiwan korban agak kasar. Lembu ditarik beramai-ramai dan dijatuhkan. Pada aku perbuatan tersebut termasuk dalam perbuatan kurang ihsan kerana ada cara yang jauh lebih baik.
Rasulullah s.a.w bersabda:
إنَّ اللهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ: فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ، وَلْيُحِدْ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
“Sesungguhnya Allah menulis (mewajibkan) ihsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh (dengan alasan yang sah), maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia merehatkan (menyenangkan) haiwan sembelihannya itu. (Hadis riwayat Muslim)
Mana-mana lelaki yang tak pernah sembelih haiwan korban. Berazamlah untuk lakukannya sendiri tahun depan. Paling tidak, sembelihlah sendiri untuk aqiqah anak-anak korang. Be a man.
Kenapa tidak?