Siapa yang mengaji hadis, mesti pernah dengar nama ulama’ ini. Namanya Imam Rabi’ah ibn Abdul Rahman. Dia ialah guru kepada para ulama’ di Madinah. Dia mengajar di masjid Nabi.
Suatu kisah yang sama dengan para ulama’ lain dan para imam kurun awal adalah mereka ini dibesarkan dan dididik oleh ibu. Ini membuktikan peranan seorang ibu itu sangat hebat. Sama macam al-Imam as-Syafie, dia juga dibesarkan oleh ibunya.
Kebanyakan para imam kurun salaf biasanya begitulah. Kerana ayah mereka keluar misi dakwah dan jihad. Bertahun-tahun, ada yang terus terkorban atau tiada khabar beritu. Begitulah yang berlaku kepada Imam Rabi’ah.
Ketika ayahnya meninggalkannya untuk misi jihad dan dakwah, sang imam masih lagi dalam kandungan. Dia meninggalkan kepada isterinya beberapa dinar untuk keperluan kehidupan mereka.
Sang ayah diceritakan pergi selama 20 tahun. Kepulangannya setelah 20 tahun direkodkan dalam kisah yang sangat dramatik. Menjadi lumrah mereka yang pulang dari misi tidak terus ke rumah, mereka akan singgah di masjid.
Di masjid Nabi, ayah sang imam duduk di dalam majlis sang imam. Dia sangat kagum dengan keilmuan, kepetahan, karisma dan kehebatan imam muda itu ketika dia berada dalam majlis ilmu tersebut.
Setelah majlis selesai, dia terus ke rumahnya, isterinya sudah menantinya. Suaminya menceritakan perihal ulama’ muda di masjid Nabi yang dia temui tadi. Kemudian, dia bertanya tentang harta-harta yang dia tinggalkan.
Isterinya menjawab,
“Semuanya sudah dihabiskan.”
Terkejut suaminya. Dia berasa sangsi dan pelik. Tiba-tiba seorang anak muda memberi salam, masuk rumah dan memanggil isterinya dengan panggilan “ibu”.
Lantas isterinya memberitahu yang kesemua harta yang ditinggalkan, segala wang yang dikirim dan segala harta ghanimah yang suaminya hantar adalah untuk menghasilkan ulama’ muda yang suaminya kagumi itu.
Iaitu anaknya sendiri, al-Imam Rabi’ah ibn Abdul Rahman Rahimahullah.
Apa yang kita boleh pelajari dari kisah imam ini adalah :
1. Tugas utama ayah/suami adalah bekerja, berjihad dan mencari nafkah untuk agama, keluarga, dan negara.
2. Tugas isteri adalah menjaga dan membelanjakan harta yang ditinggalkan/diberikan untuk mendidik anak-anak menjadi hebat.
3. Harta yang diusahakan lebih afdhal dibelanjakan untuk pendidikan anak-anak. Jangan kedekut untuk berbelanja untuk pendidikan anak-anak.
4. Suami cari nafkah dan tinggalkan anak bini itu biasa. Itulah kerja suami. Itulah tanggungjawab ayah. Dengan pendapatan itulah anak-anak akan dibesarkan dengan lebih baik.
5. Isteri yang baik ialah isteri yang tidak berbunyi dan menghalang suami nak kerja kuat. Isteri yang baik akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga dan mendidik anak-anak.
Hari ini, mana ada kena tinggal lama sampai 20 tahun. La ni ada video call, boleh contact hari-hari. Apalah alasan lagi.
Jangan kita impikan mahkota harta, jika nak keluar rumah bekerja pun masih dilema. Jangan kita mimpikan bulan, jika gunung di bumi pun tak sanggup ditawan.
Begitulah..