Zaman dahulu, mereka yang menjadi qadi ialah orang yang ‘alim dalam fiqh dan usul. Itu sebab imam-imam besar ramai pernah menjawat jawatan qadi dalam hidup mereka. Sebagai contoh Imam as-Syafie. Qadi Iyadh, Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, dan ramai lagi.
Aku memerhati sahaja beberapa peguam cap ayam yang meroyan dengan kebenaran yang aku bawa. Kebenaran tentang harta sepencarian tiada dalam Islam yang asal. Tiada di dalam Quran, sunnah dan tidak dikenali pada kurun awal.
Apabila aku melihat mereka berhujah pasal ahli, aku tergelak. Ahli mereka ini siapa? Lebai-lebai di Malaysia sahaja? Ulama’-ulama’ di luar sana yang jauh lebih berkaliber dan ‘alim mereka tolak?
Yang lebih lawak, mereka berhujah bukan semua benda ada dalam Quran. Itu aku setuju. Tapi melihat itu sahaja hujah mereka, aku rasa mereka ini memang jahil atau mungkin bebal Bahasa Melayu, mungkin mereka elok buat balik BM paper July bulan ini. Bukankah aku sudah menulis tentang ‘uruf? Tentang maslahah?
Peguam-peguam ni biasalah. Mereka hanya ikut apa yang telah menjadi undang-undang. Asal dan usulnya mereka tidak tahu. Mereka nampak boleh masyuk, mereka tekan, mereka pakai, mereka lanyak. Tapi jangan tunjuk jahil sangat, malulah.
Mereka ini kalau ditanya, apa mazhab mereka, mereka patut jawab,
“Kami mazhab undang-undang syariah Malaysia.”
Mereka hanya mengikut telunjuk cara dan sistem pemikiran ahli undang-undang barat. Hanya bercakap tentang apa yang dah ditulis dalam buku undang-undang. Walhal syariah itu luas merentasi mazhab dalam Islam. Itu sebab aku pernah berpandangan mahkamah syariah Malaysia dan undang-undang syariah Malaysia elok ditutup atau ditukar nama kepada nama yang tidak menunjukkan Islam.
Kerana pandangan dan mereka yang berada dalam sistem tersebut tidak menunjukkan keluasan Islam dan kebijaksanaan Islam. Mungkin boleh dinamakan Mahkamah Adat Temenggong dan peguam adat temenggong.
Teringat aku kisah yang pernah diceritakan oleh guru kami yang mulia, syaikhul hadis, Dato’ Dr. Mohd Radzi Othman ketika dia hadir ke mahkamah syariah untuk proses pembahgian pusaka dengan adik beradiknya. Katanya hakim bertanya kepada beliau nak bahagi ikut faraid ke sama rata?
Dr. Radzi telah menegur hakim dengan jawapan lebih kurang macam ni,
“Enta hakim, enta patut tahu dan enta patut menyuruh kami mengikut perintah Allah, faraid itu hudud Allah yang tidak boleh dilanggar.”
Siapa yang kenal Dr. Radzi tahu betapa lunak dan lembut suaranya tetapi makan dalam.
Aku dah dengar banyak kali dah cerita hakim mahkamah syariah tidak menguasai ilmu alat dalam syariah. Aku tidak terkejut. Aku kenal beberapa kawan yang ada lesen peguam syariah pun tidak menguasai manhaj talaqi, istidlal, usul fiqh, ‘ulum hadis dan ‘ulum tafsir, bahkan tidak kenal para ulama’ kurun salaf yang menjadi autoriti dalam agama Islam.
Nak jadi hakim mesti pernah jadi peguam kan? Bukan sahaja usul tafsir dan mustalah hadis tidak tahu, para ulama’ tafsir dan hadis yang memegang autoriti juga mereka tidak kenal. Bagaimana mereka mengaku mereka orang syariah atau ahli syariah sedang asas mengenali ilmu syariah pun mereka tempang?
Apabila aku mengemukakan hakikat sebenar tentang harta sepencarian, mereka meloncat. Mereka berhujah macam orang kena sawan. Mereka sendiri membuktikan mereka jahil, tiada ilmu dan taqlid buta dengan buku undang-undang yang mereka “sembah”.
Tapi jangan risau. Masih ada sebahagian peguam syariah yang ‘alim. Mereka ini pasti faham. Yang meroyan ni sebab lubuk cari makan diorang dicuit kot. Rilexlah, takkan tak beriman dengan Allah itu ar-Razak? Nak buat, buatlah. Kan ada dalam peruntukan undang-undang. Takkan tak boleh berbeza pandangan? Mahkamah dan buku undang-undang syariah ni Quran ke sampai tak boleh berbeza?
Kata orang syariah? Orang syariah tak belajar tauhid dan aqidah ke?