PERJUANGAN INI MESTILAH IKHLAS TANPA MENGHARAP BALASAN

P

(Tulisan ini panjang. Baca slow-slow.)

Aku rasa sangat tidak senang dengan panggilan hero kepada aku. Ya, akulah orang yang paling terluka parah dalam membela nasib adik Bella. Aku juga yang buat move luar kotak untuk memastikan proses keadilan dimulakan dan berjalan seperti yang sepatutnya.

Tapi aku bukan hero. Bukan juga Puan Mona, bukan juga Mommy Zurianty. Banyak kali aku sebut, hero sebenar dalam perjuangan ini ialah adik Bella. Disebabkan dia survive-lah, perjuangan ini dimulakan.

Aku tidak kenal Puan Mona, aku tak sokong perjuangan #Poligamiscam dia, aku tak kenal juga mommy Zurianty. Aku hanyalah co-founder SCRUT, penjual di ifmal.com. Penulis syok sendiri di Facebook. Peniaga yang mengais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Kereta? Hanya Axia Kompang. Takda NGO, tak rapat dengan politikus warlord. Anak angkat apatah lagi.

Mommy Zurianty telah terus membuat laporan polis sesudah terjumpa adik Bella, tetapi OKT tidak dipanggil memberi keterangan. OKT juga tidak direman. OKT satu rumah positif covid, termasuk Bella. Tetapi Bella tidak dibawa ke hospital. Pelik bukan?

Puan Mona telah dihubungi seseorang dan mendapat segala maklumat dan gambar adik Bella yang telah cedera parah. Puan Mona up satu posting. Mommy Zurianty terkejut, bagaimana Puan Mona dapat semua informasi dan gambar-gambar. Mommy Zurianty telah team up dengan Puan Mona selepas itu.

Puan Mona buat 1 gerakan untuk siasatan dijalankan segera. Media dah diberi segala maklumat. Keluar banyak media, tapi malangnya tidak pergi jauh. Kemudian, Puan Mona menghubungi aku. Ha, kat sini aku dijemput. Dalam banyak-banyak orang, kenapalah dia pilih aku.

Aku menggunakan kekuatan page SCRUT untuk push public pressure, nampak ada impact. Tapi Aliff Ahmad III dah terkorban. Partner-partner aku Nik Izwan Kamel dan Abu Aisy Juraime pun support. Kemudian, aku menjemput peguam Mahmud untuk bersama-sama kami.

Fdaus Ahmad, Cikgu Fadli, Akhi Fairuz dan Firdaus Wong masuk meletupkan lagi. Harris of TTKM pun bersama dengan adik Bella. Saksi-saksi dan mangsa-mangsa di Rumah Bonda mula tampil dan berani nak buat laporan polis. Betty Banafe membawa spark baru dalam dunia selebriti. Helmie dari Astro Awani buat special news dengan penghuni-penghuni Rumah Bonda.

Kemudian ramailah yang datang menghangatkan lagi tsunami viral ini. Sehingga OKT dipanggil dan pendakwaan dibuat. Aku malas nak cerita pasal proses siasatan yang aku rasa ada yang tak kena. Akhirnya, dakwaan hanya pengabaian dikenakan.

Aku memang dah expect sebab aku dah rasa sangsi dan tak percaya ketika siasatan dibuat. Bayangkan, apabila OKT tidak direman, maka saksi-saksi di rumah OKT mestilah tidak berani nak bersuara.

Atas sebab itu OKT bermati-matian cuba mendapatkan kembali anak-anak angkatnya yang merupakan saksi-saksi di dalam rumahnya. Sampai buat rayuan setelah kalah kesemuanya kes di mahkamah kanak-kanak.

Maka, kami bangkit untuk buat tsunami ke-2 setelah salah seorang saksi kejadian yang tinggal bersama adik Bella melarikan diri. Jiran-jiran OKT juga telah membuat laporan polis. Kami panjat hantar memorandum ke YDP Agong, PM, menteri undang-undang, menteri wanita, dan AGC.

Alhamdulillah, pertuduhan tambahan iaitu penganiayaan dikenakan. Dalam perjuangan ini, aku telah disiasat polis, aku dikenakan saman komital oleh OKT melalui firma gopren aku, dan kemudian mereka masuk saman sivil terhadap aku. Mungkin inilah harga yang aku kena bayar dalam perjuangan ini. Mungkin juga ia cara mereka nak mengenakan aku.

Dalam perjalanan perjuangan ini, ada yang terpaksa tekan brake kerana takut disaman, dipanggil polis. Itulah cara belah sana, mereka guna cara seperti itu. Ada yang hilang terus, ada yang muncul bila ada publisiti sahaja. Aku tak kisah, aku tak marah. Apa jadi pun, kalau tiada orang bersama aku, termasuk Puan Mona tinggalkan aku sekalipun, aku tetap teguh walaupun tinggal seorang diri. Walaupun aku terpaksa meringkuk dalam penjara seorang diri.

Aku tiada kepentingan dalam berjuang untuk adik Bella ni. Aku tak kenal OKT, jadi aku takda personal vendetta. Aku percaya, aku ini ialah takdir tuhan di atas doa adik Bella. Aku kena macam-macam, aku hilang macam-macam. Hilang potential customer, hilang gopren, paling penting hilang masa. Adik Bella tak mampu bayar aku, Mommy Zurianty tak mampu, Puan Mona pun tak mampu. Kesimpulannya, aku takda apa-apa personal interest pun.

Jadi apa aku dapat? Aku dapat sakit, penat, rugi dan kehilangan banyak masa. Tapi aku percaya, dengan keikhlasan, aku percaya tuhan akan gantikan sesuatu yang lebih baik, yang lebih berharga. Aku harap adik Bella akan doakan aku atau tarik aku ke syurga nanti. Aku percaya doanya sangat makbul. Korang tau tak? Aku dengan Puan Mona, kami berdua tak pernah kenal dan jumpa pun adik Bella.

Aku menasihatkan diri aku yang hina ini, sahabat-sahabat seperjuangan, kawan-kawan dan penyokong-penyokong sekalian supaya ikhlaskan hati, diri dan jiwa. Adik Bella bukanlah barangan untuk kalian mendapat manfaat duniawi. Percayalah pasti ada balasan yang lebih baik.

Kalian semua sangat membantu kami. Aku tak boleh buat posting macam kalian, sebar video, foto, dan sembang ke langit. Mereka pasti akan masuk saman, report FB dan report polis. Kalian semua memang awesome, the more the merrier. Takkan mereka nak saman seluruh penyokong adik Bella bukan?

Aku faham, ada yang buat content untuk reach dan tambah follower. Takpa, aku tetap suka. Kerana kalian semualah perjuangan ini sampai ke seantero dunia. Sampai sahabat-sahabat aku di Wakanda pun mesej nak tau cerita sebenar. Sampai pejuang antivax yang takda kelulusan dan taktau hujung pangkal pun tiba-tiba masuk nak tunjuk pandai.

Tapi, aku ulang nasihat aku, kita perbaharui niat kita, betulkan niat dan prinsip kita. Supaya kita tidak muflis di akhirat nanti. Muhasabah diri kita, kita masuk dalam perjuangan ini untuk apa? Nak glamor? Nak populariti? Nak menteri? Sultan? Agong? TMJ? Tepuk dada, tanya iman masing-masing. Takut-takut kita terkena talbis iblis. Teringat aku tentang satu hadis yang berbunyi..

‎عن أبي هريرة -رضي الله عنه- قال: سمعت رسول الله -صلى الله عليه وسلم- يقول: «إن أول الناس يُقضى يوم القيامة عليه رجُل اسْتُشْهِدَ، فأُتي به، فعرَّفه نِعمته، فعرَفَها، قال: فما عَمِلت فيها؟ قال: قَاتَلْتُ فيك حتى اسْتُشْهِدْتُ. قال: كَذبْتَ، ولكنك قَاتَلْتَ لأن يقال: جَرِيء! فقد قيل، ثم أُمِرَ به فَسُحِب على وجهه حتى أُلقي في النار. ورجل تعلم العلم وعلمه، وقرأ القرآن، فأُتي به فعرَّفه نِعَمه فعرَفَها. قال: فما عملت فيها؟ قال: تعلمت العلم وعلمته، وقرأت فيك القرآن، قال: كَذَبْتَ، ولكنك تعلمت ليقال: عالم! وقرأت القرآن ليقال: هو قارئ؛ فقد قيل، ثم أُمِر به فَسُحِب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل وَسَّعَ الله عليه، وأعطاه من أصناف المال، فأُتي به فعرَّفه نِعَمه، فعرَفَها. قال: فما عملت فيها؟ قال: ما تركت من سبيل تُحِبُّ أن يُنْفَقَ فيها إلا أنفقت فيها لك. قال: كَذَبْتَ، ولكنك فعلت ليقال: جواد! فقد قيل، ثم أُمِر به فَسُحِب على وجهه حتى ألقي في النار .

Abu Hurairah ra, sebagaimana diriwayatkan Muslim dan Ahmad, berkata bahawa Nabi Saw bersabda:

Sesungguhnya orang pertama yang akan diputuskan pada hari kiamat kelak ialah seorang yang mati syahid. Maka, dihadapkan kepada Allah dan diingatkan kepadanya akan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepadanya, dan hal itu diakuinya.

Kemudian ditanya oleh Allah,
”Lalu, apakah amalanmu dalam nikmat itu?”

Jawabnya, ”Aku telah berperang untuk-Mu hingga mati syahid.”

Maka Allah berfirman:
”Kamu berdusta, sebenar kamu berperang untuk dikenal sebagai pahlawan yang gagah berani.”

Lalu dia diseret oleh malaikat dan diperintahkan untuk dilempar ke dalam neraka.

Yang kedua dihadapkan kepada Allah ialah orang yang belajar ilmu agama dan mengajarkannya, serta pandai membaca Al-quran. Maka diberitakan tentang nikmat-nikmat yang telah dia peroleh dan dia mengakuinya. Lalu dia ditanya:

”Lalu, apakah amalanmu di dalamnya?”

Jawab orang itu:
”Aku telah belajar ilmu untuk-Mu dan mengajarkannya, serta membaca Al-quran untuk-Mu.”

Allah berfirman:
”Kamu berdusta, sebenarnya engkau belajar ilmu agar mendapat gelaran alim, membaca Al-quran agar mendapat gelar qari, dan engkau sudah menikmatinya di dunia.”

Kemudian diperintahkan kepada malaikat untuk mencampakkannya ke dalam neraka.

Orang yang ketiga dihadapkan kepada Allah ialah yang diluaskan rezekinya dan diberi oleh Allah berbagai kekayaan. Maka diberitakan kepadanya tentang nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepadanya, dan dia mengakuinya. Lalu dia ditanya:

”Lantas, apakah amalanmu di dalamnya?”

Jawab orang itu:
”Tiada suatu jalan pun yang Engkau perintahkan mendermakan harta di dalamnya, melainkan telah saya dermakan harta di dalamnya untuk-Mu.”

Jawab Allah: ”Kamu berdusta, sebenarnya engkau mendermakan harta itu agar disebut dermawan, dan telah dikenal sedemikian di dunia.”

Maka Allah kemudian memerintahkan malaikatnya untuk melemparkan orang itu ke dalam neraka.

Lihatlah, seorang pejuang yang disangka syahid, seorang ulama’ dan seorang dermawan yang kesemua mereka akhirnya masuk ke neraka hanya kerana tidak ikhlas. Apakah tempat yang lebih azab dan siksa selain neraka? Apa niat kita berjuang untuk #JUSTICEforBELLA? Kalau rasa niat kita dah terpesong, istigfar dan betulkan kembali niat tu. InsyaAllah, Allah maha pengampun.

Allahul musta’an..

😉

Mengenai penulis

Tambah komen

Admin

Who is aLiph.My?

Official blog of Aliff Ahmad (Aliff Shariffuddin) also known as Abu Fedora al-Turkistani. His real name is Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin. The co-founder of Scrut.my , Ifmal.com , Idsb.my and Coin.my.