SUAMI YANG TUNGGANG AGAMA UNTUK MENUNDUKKAN ISTERI IALAH “SUAMI DARI NERAKA”..

S

Aku ialah diantara manusia-manusia yang berpandangan agar sistem pengurusan keluarga Islam memudahkan perkahwinan, memudahkan penceraian, dan menganjurkan perkahwinan dengan perjanjian-perjanjian asas yang berlandaskan syarak.

Sebagaimana zaman dahulu, tidak punya mahkamah syariah, tidak punya majlis dan jabatan agama, hanya qadi yang berpegang berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi, ketika itulah Islam berada di puncak dunia. Malangnya, ketika lahirnya segala sistem dan dokumentasi, pengurusan Islam dilihat lemah, menindas wanita dan tidak adil.

Kalau aku punya masa yang banyak, mahu sahaja aku bersama-sama mangsa-mangsa mahkamah syariah melawan hakim-hakim dengan sistem yang mereka jalankan.

“Saman mahkamah syariah dan hakimnya kerana membuang masa dan membuli wanita yang sudah ditindas suami jahat.” Kata hati kecil aku.

Aku ingatkan kaum muslimat sekalian, apabila suami korang yang loser tu terpaksa menggunakan talian agama untuk menekan korang supaya taat dengan dalil-dalil agama, ketahuilah sebenarnya mereka sedang menunggang agama untuk menindas dan membodohkan korang.

Dalil 1 :
Isteri wajib taat suami. Jika tidak, dia akan dilaknat. Mereka akan berdalilkan hadis Nabi SAW yang ini.

Rasulullah SAW bersabda:
‎إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
“Apabila suami mengajak isteri untuk tidur bersama-sama, kemudian isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, maka malaikat melaknati isterinya sehingga ke pagi.”
[HR Muslim (1436)]

Ini hadis sahih. Hadis ini biasa ditunggang oleh suami-suami loser tanpa melihat konteks sebenar hadis tersebut. Asas kepada hubungan suami isteri menurut Islam adalah penerimaan (acceptance) dan keadilan (justice).

Jadi mana mungkin seseorang isteri itu akan terus dilaknat apabila tidak melayan suaminya. Yang pasti dilaknat adalah tanpa alasan yang syar’i. Jika punya alasan syari’i seperti kepenatan, kelelahan, dan tidak sihat, maka isteri itu punya hak untuk menolak apa-apa ajakan dan arahan suami. Ia dipanggil uzur syar’i (justified exception).

Kata guru kami yang mulia, apabila seseorang suami gagal menunaikan hak isterinya, maka haknya sebagai suami kepada isteri juga tidak mutlak. Sebagai contoh, apabila seorang suami terpaksa menyuruh isterinya bekerja untuk membantu keluarga, isteri pulang kerja dah penat, kena kemas rumah lagi, tengok anak-anak lagi. Maka, kepenatan dan kelelahan itu adalah uzur syar’i.

Begitu juga apabila suami gagal memenuhi keperluan asas (basic needs) yang baik kepada isteri, yang menyebabkan isteri hidup dan tinggal dalam keadaan tidak selesa. Ditipu janji-janji palsu sebelum kahwin sehingga membuatkan isteri tertekan. Maka itu juga adalah uzur syar’i.

Tetapi jika sang suami itu sudah menyediakan tempat yang kondusif, nafkah yang mencukupi, makan dan pakai yang baik, bahkan lebih baik daripada apa yang si isteri pernah ada sebelum berkahwin dengannya. Ada pembantu rumah siap. Jadi, apa alasan untuk si isteri menolak apa-apa ajakan suami yang diizinkan syara’?

Yang menariknya, guru kami menyuruh kami semua bermuhasabah (ketika itu aku belum kahwin) kenapa isteri menolak. Bukan terus nak merajuk atau marah. Kata beliau,

“Jadi suami tak boleh cepat merajuk dan marah. Bincang dulu. Kalau kita best, takyah panggil, isteri kita yang datang..”

Dalil 2 :
Isteri nusyuz (derhaka) masuk neraka!

Kata Allah,‎
والتي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”
(Surah al-Nisaa’: 34)

Apa itu nusyuz menurut syara’?
1. Menolak menunaikan hak isteri kepada suami. (dah dibincangkan pada dalil 1)
2. Tidak menjaga maruah diri dan suami.
3. Keluar rumah tanpa izin suami.Tidak menjaga maruah diri dan suami ni clear lah kot nusyuznya. Isteri yang ada boipren di luar, suka menghina suami dan mengaibkan suami dia di media sosial. Memang jelaslah nusyuz tu.

Yang aku nak bincangkan adalah keluar rumah tanpa izin suami. Yang ini selalu menjadi senjata lelaki loser nak me-nusyuz-kan isteri. Walhal dalam banyak kes sebenar adalah hanya abuse of nusyuz.

Suami loser biasa larang isteri balik jumpa parents, larang keluar rumah untuk jumpa doktor, keluar rumah untuk meminta bantuan atau mendapatkan keperluan hidup. Mereka akan menggunakan kuasa veto dan terma nusyuz untuk mengawal perempuan-perempuan yang konon nak jadi isteri yang taat dan misali.

Walhal, seorang isteri boleh keluar rumah tanpa izin suami dalam perkara-perkara yang dibenarkan syara’ melalui 5 maqasid syariah seperti berikut.
1. Menjaga agama.
2. Menjaga Nyawa.
3. Menjaga Akal.
4. Menjaga Keturunan.
5. Menjaga Harta.

Menjaga Agama
Apabila suami itu menyuruh isteri melakukan perkara yang ditegah agama atau suami sudah murtad, syirik atau melakukan dosa besar, maka isteri boleh meninggalkan rumah sama ada untuk mendapatkan nasihat atau memohon penceraian.

Menjaga Nyawa
Apabila nyawa atau keselamatannya terancam, isteri berhak keluar mendapatkan bantuan. Begitu juga kesihatan mental dan fizikal. Isteri boleh keluar mendapatkan rawatan tanpa izin suami. Isteri juga boleh keluar membuat laporan polis.

Menjaga Akal
Isteri juga dibenarkan keluar menuntut ilmu atau bertanya qadi atau ‘alim untuk mendapatkan kepastian ilmu atau hukum. Biasalah, suami loser ni suka tunggang agama.

Menjaga Keturunan
Apabila rumah dimasuki pencuri, atau kena samun. Takkan nak minta izin suami lagi. Takut kena rogol ke apa. Begitu juga kalau suami hisap dadah, isteri berhak membawa keluar anak-anaknya tanpa izin suami. Tiada ketaatan ke atas suami fasiq!

Menjaga Harta
Apabila suami minta, mencuri atau pow isteri, isteri berhak keluar buat laporan atau mohon bantuan.

Dan suami juga boleh jadi nusyuz apabila gagal menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan menunaikan hak isteri yang sepatutnya!

Dalil 3 :
Taat suami masuk syurga!

Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
‎إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
“Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”.
[Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]

Ketaatan isteri kepada suami bukanlah ketaatan mutlak. Ia masih subjek kepada keadaan. Sebagai contoh, suami melarang isteri menceritakan apa yang berlaku kepada walinya, qadi atau hakim. Arahan ini bukanlah perkara yang diwajibkan untuk ditaati.

Isteri berhak mengadu, mendapatkan nasihat dan perwakilan daripada pihaknya, hal ini disebutkan di dalam Quran.

‎وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِنْ أَهْلِهَا إِنْ يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا
“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik.”
(Surah al-Nisaa’: 35)

“Orang tengah” itu mestilah yang terbaik dan dipercayai bagi pihak masing-masing. Siapakah yang lebih baik daripada wali kepada anak perempuan?

Dalil 4 :
Minta cerai tak cium bau syurga!

Rasulullah SAW bersabda,‎
الْجَنَّةِ رَائِحَةُ عَلَيْهَا فَحَرَامٌ بَأْسٍ مَا غَيْرِ فِى طَلاَقًا زَوْجَهَا سَأَلَتْ امْرَأَةٍ أَيُّمَا
“Mana-mana wanita yang meminta talak (cerai) tanpa ada alasan yang jelas, maka haram baginya mencium bau syurga.”
(HR Abu Daud dan Tirmidzi)

Sahabiyah, isteri Tsabit bin Qais RA pernah meminta diceraikan kepada Nabi SAW. Jika asal minta cerai je masuk neraka, sahabiyah itu takkan berani buat. Bahkan dia file-kan permohonan kepada Nabi SAW!

Aku percaya, setiap permohonan cerai daripada seorang isteri pastinya mempunyai alasan yang munasabah. Melainkan penghina Nabi SAW yang meminta cerai kerana suaminya menyuruh solat. Minta cerai sebab disuruh suami mengerjakan solat adalah contoh permohonan cerai yang haram!

Dalil 5 :
Ramai wanita masuk neraka sebab nusyuz!

‎وَرَأَيْتُ النَّارَ فَلَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ مَنْظَرًا قَطُّ وَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ. قَالُوا: لِمَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: بِكُفْرِهِنَّ. قِيْلَ: يَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ قَالَ: يَكْفُرْنَ الْعَشِيْرَ وَيَكْفُرْنَ اْلإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلىَ إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ: مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ
“Dan aku melihat neraka. Aku belum pernah sama sekali melihat pemandangan seperti hari ini. Dan aku lihat ternyata majoritinya penghuninya ialah para wanita.” Mereka bertanya, “Kenapa para wanita menjadi majoriti penghuni neraka, ya Rasulullah?” Beliau menjawab, “Disebabkan kekufuran mereka.” Ada yang bertanya kepada beliau, “Apakah para wanita itu kufur kepada Allah?” Beliau menjawab, “(Tidak, melainkan) mereka kufur kepada suami dan mengkufuri kebaikan (suami). Seandainya engkau berbuat baik kepada salah seorang isteri kalian pada suatu waktu, kemudian suatu saat ia melihat darimu ada sesuatu (yang tidak berkenan di hatinya) nescaya dia akan berkata, ‘Aku sama sekali belum pernah melihat kebaikan darimu’.”
(HR. Bukhari no. 5197 dan Muslim no. 907).

Dalam hadis ini secara jelas menyatakan ciri-ciri isteri yang masuk neraka iaitu suami yang tidak ABUSE isterinya secara fizikal dan mental. Hak-hak isterinya dijaga dan ditunaikan. Tetapi, apabila ada kesilapan atau salah faham, isteri itu terus menafikan segala kebaikan suaminya sebelum ini.

Sebagai contoh, seorang suami yang sentiasa berusaha untuk kebaikan keluarganya, tidak pernah miss tunaikan nafkah dan kebajikan keluarga. Apabila sang suami menyuarakan hasrat nak bernikah dengan seorang janda, terus segala kebaikannya selama ini dilupakan.

Dalil 6 :
Allah benci penceraian dan bergegar arasy. Ini semua hadis tak sahih. Aku taknak discuss lagi. Boleh rujuk sini.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=385479136052605&id=100037715657121&mibextid=qC1gEa

Aku kira mungkin 6 dalil ini suami loser atau laki loser tunggang untuk mengawal isteri-isteri mereka. Aku berpandangan, kalau korang asyik nak me-NERAKA-kan isteri korang, lepaskan jela. Kalau dia minta, lepaskan jela. Jangan jadi macam Farid dan Syamsul. Move on. Buat apa gaduh-gaduh?

Sekian tazkirah pagi ini. Apa pun, ini pandangan yang aku pegang. Mungkin orang lain ada pandangan lain. Kita mungkin berbeza. Tetapi hakikatnya, kita nak perkahwinan itu penuh sakinah dan mawaddah. Kalau dah asyik masuk neraka je, macam mana nak dapat ketenangan?

Jomlah pi Melaka! Korang akan dapat lihat, suami-suami dan laki-laki loser akan cuba menentang pandangan aku ini..

😉

ps : Gambar di bawah hanya hiasan.

Mengenai penulis

Tambah komen

Admin

Who is aLiph.My?

Official blog of Aliff Ahmad (Aliff Shariffuddin) also known as Abu Fedora al-Turkistani. His real name is Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin. The co-founder of Scrut.my , Ifmal.com , Idsb.my and Coin.my.