ALANGKAH LUCUNYA NEGERI MALAYSIA KINI!

A

Aku pernah menonton filem berjudul Alangkah Lucunya Negeri Ini (ALNI), sebuah filem yang mengkritik keadaan politik, sosial dan ekonomi negara Indonesia.

Kisah tentang seorang graduan yang menganggur, tidak mendapat pekerjaan. Kisah kumpulan pencopet yang tidak pernah ke sekolah yang cuba diubah oleh graduan tadi dan kawan-kawannya untuk menjadi penjaja jalanan.

Tahun 2017 adalah tahun pertama aku menjejak kaki ke tanah besar Indonesia raya. Membuka kantor di sana jauh lebih sukar dari Malaysia. Birokrasi dan wang pelincir di mana-mana. Di sana aku melihat realiti penjaja jalanan dan ojek (Gojek) dengan mata kepala sendiri.

Dalam filem ALNI, kumpulan pencopet itu cuba dibimbing dan dibentuk menjadi peniaga melalui kaedah menjaja jalanan atau mengasung. Ngasung dapat dilihat di tepi jalan dan di lampu isyarat merah. Mereka ibarat kedai serbaneka bergerak. Menjaja secara kecil-kecilan.

Filem itu kerap menyindir tentang para koruptor yang merembat wang berjuta-juta tetapi tidak ditangkap, anak-anak ngasung ditangkap walhal mereka mencari rezeki yang halal hanya kerana mereka mengganggu lalu lintas.

Aku melihat Malaysia sudah seakan-akan menjadi seperti Indonesia, Gojek mahu diperkenalkan, ngasung juga sudah kelihatan di perhentian lampu insyarat. Baru tadi aku melihat anak-anak muda ngasung menjual jeruk ditahan pihak berkuasa barangkali.

Anak-anak muda ini makin terdesak. Mahu menyewa premis berniaga, masih tidak mampu membayar sewa. Nak dapatkan biaya bank, harus menunjukkan untung sekurang-kurangnya 2 tahun, harus membayar cukai, kemudian mungkin kastam dan LHDN akan memburu mereka pula.

Mahu mendapatkan dana geran, bukan semua anak muda ini pandai pitching menjilat dan mengampu, bajet cool sebagai Founder, co-Founder, CEO, CTO bagai. Mahu berniaga online pula, margin mereka dirompak dengan cukai digital, mahu buat marketing online, FB dan Google juga diarah untuk merompak kos mereka.

Mungkin mereka tiada pilihan, dengan modal yang minima, ngasung adalah jalan survival mereka. Jika ngasung ini diganggu juga, setelah ojek dan ngasung wujud di Malaysia, mungkin pencopet bersistem pula akan muncul kelak. Bak kata adik pencopet di dalam ALNI,

“Ngasung pun ditangkap, lebih baik kita mencopet!”

Graduan menganggur, ngojek, ngasung dan nyopet lahir dek kerana desakan hidup yang sangat memaksa. Jika kerajaan tidak segera menangani isu ini, takut-takut keadaan Malaysia jauh lebih parah nanti. Politikus dan kumpulannya yang baru mendapat laba dan ghanimah, berjawatan besar, bergaji lumayan, berkereta mewah dan berdrebar, ingatlah, politik bukan untuk memewahkan kau dan mengkayakan kawan-kawan kau!

Kau nampak adik-adik ngasung di tepi jalan? Belilah dan doakan mereka berjaya membuka toko berlesen suatu hari nanti!

Malaysia? Alangkah lucunya negeri kini!

Mengenai penulis

Tambah komen

Admin

Who is aLiph.My?

Official blog of Aliff Ahmad (Aliff Shariffuddin) also known as Abu Fedora al-Turkistani. His real name is Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin. The co-founder of Scrut.my , Ifmal.com , Idsb.my and Coin.my.