Ini pegawai JPJ, nama dia Puan Mira. Dia tidak menyaman seorang penunggang motosikal kerana budi bicara. Dari mana datangnya budi bicaranya? Ia datang dari hati dan nurani yang bersih dari sifat insani. Inilah sifat manusiawi yang wajib ada dalam diri mana-mana penjawat awam.
Rasanya kita semua ada pengalaman, anggota polis tak saman/kompaun kita sebab kasihan. Bagi peluang dan bagi amaran. Pegawai kastam, pegawai PBT dan lain-lain penguatkuasa yang tidak mengeluarkan saman/kompaun/penalti, tetapi hanya memberi amaran lisan. Betul tak?
Jika ikut buku dan nak kejar KPI, sudah pasti mereka saman/kompaun/penalti saja. Setuju tak? Kenapa mereka melepaskan kita? Adakah mereka tidak amanah dengan kerja mereka? Adakah mereka tidak mengejar KPI mereka?
Jawabnya, TIDAK!
Mereka tahu yang kesalahan kita adalah kesalahan manusia. Bukan kesalahan jenayah. Kata Nabi dalam hadis.
Daripada Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan (dosa), dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
Riwayat Ibn Majah (4392)
Tiada yang maksum. Tiada yang tidak pernah TIDAK melakukan kesalahan.
Maka, di sana wujud anggota-anggota atau pegawai-pegawai yang menggunakan sifat ihsan dan insani dalam diri mereka untuk memberi peluang kepada rakyat marhaen atau mereka yang mereka rasa wajar diberi ruang dan peluang.
Inilah dia budi bicara yang lahir dari sifat manusiawi yang tidak korup kerana mengejar pangkat, KPI, insentif atau bonus. Budi bicara yang sihat ini adalah hasil dari pertimbangan akal budi yang sihat.
Sedang Nabi SAW pun cuba mengelakkan dan menangguhkan mereka yang datang kepadanya untuk dihukum kerana melakukan kesalahan hudud. Ini kes pengakuan sendiri tau. Bukan kesalahan-kesalahan yang dicari-cari atau ditangkap! (Rujuk kisah Mu’iz dan seorang wanita zaman Nabi)
Ya, menjadi tegak, lurus dan tiada perikemanusiaan itu mungkin tidak salah di mata buku kamu. Tapi pandangan tuhan belum pasti benar. Tuhan juga maha pengampun, ditunjukkan pula oleh Nabi SAW bagaimana berinteraksi dengan manusia dengan penuh rahmah dan ihsan.
Lainlah mereka yang memang sudah tegar melakukan kesalahan demi kesalahan dengan sengaja. Atau jenayah yang menyebabkan kesusahan masyarakat. Amat wajarlah ia tidak diberi sebarang budi bicara.
Kalau setakat tak submit borang B, terlewat hantar audit, takkan nak sembelih rakyat marhaen kan? Unless ada bonus pada hujung tahun yang dikejar..