“LIFE IS NOT WHAT YOU DREAM TO BE, BUT IT’S WHAT YOU CHOOSE TO BE…”

“SOMETIMES LIFE IS ABOUT RISKING EVERYTHING FOR YOUR DREAM..”

Inilah tazkirah aku biasa bagitau kepada isteri-isteri dan gopren-gopren aku yang suka mengomel.

Kita pilih untuk bahagia, kita pilih untuk gembira, kita pilih arah tuju hidup kita. Kita kena sedar, dunia ini bukan utopia yang kau akan sentiasa dapat apa yang kau impikan.

KITA YANG PILIH UNTUK BAHAGIA, KITA YANG PILIH UNTUK GEMBIRA..

Gambar di bawah merupakan diantara gambar-gambar pada aku yang sangat ikonik. Penuh dengan seribu satu cerita, penuh dengan sebuah keindahan dalam keinsafan.

Seorang ibu yang terlihat bergurau dengan anaknya dengan penuh gembira, terlihat anaknya yang sangat bahagia. Walaupun mereka hanya tinggal di bawah jambatan.

Gambar ini sentiasa menjadi lintasan minda dalam benak kepala aku apabila aku terasa ada kekurangan dalam kehidupan aku.

Gambar yang sering membuatkan aku terfikir sebuah nilai kehidupan yang sangat ringkas tanpa perlu pelbagai kosmetik dunia.

Lihat anak kecil itu, dia bisa gembira dan rasa bahagia dengan permainan sebegitu sahaja dengan ibunya di bawah jambatan.

Kerana anak kecil itu telah pilih untuk berasa gembira. Dia bahagia hanya sekadar dapat bermain dengan ibunya.

Mungkin anak kecil di kalangan kita tidak merasakan hal itu menyeronokkan kerana mereka telah diberikan ipad, tab, smartphone, pc dan ps5. Mereka telah diajar erti kegembiraan dan kebahgiaan itu dengan pelbagai gadjet.

Aku sering sebut perkara ini kepada anak-anak kapal aku, yang bahagia itu kita yang pilih. Kita yang tentukan.Ada orang boleh bahagia walaupun tinggal di bawah jambatan. Ada orang merana walaupun tinggal di dalam istana.

Ada orang boleh gembira dengan sekadar bermotosikal. Ada orang sengsara hidupnya walaupun berkereta mewah.

Masih teringat ketika aku khuruj di Bangladesh, kami ke perkampungan yang sangat dhaif. Rumah tanah dan tahi lembu, tiada elektrik dan air.

Tetapi ada satu keluarga ini seboleh-boleh ajak kami ke rumahnya untuk menjamu kami makan. Aku sangka nasi biryani kambing untuk kami satu jemaah. Kambing dah ditumbangkan barangkali.

Setibanya kami di rumahnya, senyuman 1 keluarga mereka yang lebar sampai ke telinga membuatkan aku terasa, dia ni memang serius panggil kita. Dia minta amir kami mendoakan keluarganya. Dia azam 4 bulan tahun itu.

Setibanya makanan dihidangkan, aku dapati mereka hanya menghidangkan sup kacang dal yang aku boleh kira bilangan kacangnya. Aku baca bismillah, hirup dan telan. Mereka pula nampak sangat gembira dan bahagia melihat kami makan sampai habis.

Dalam perjalanan pulang, orang tempatan yang membawa kami bagitahu, keluarga yang jemput kami tadi ialah keluarga yang paling miskin di kampung tadi. Tapi mereka memang suka bagi makan dan makanan tadi adalah paling sedap mereka makan.

Kawan-kawan aku dah menitis air mata, aku masih cekal kerana terkenang pernah makan selipar masa masuk hutan dulu dengan senior-senior sekolah Henry Gurney dulu. Aku rasa kacang dal tu lagi sedap dari selipar lah.

Dalam hidup aku, senyuman paling indah pernah aku lihat adalah senyuman milik keluarga tersebut. Terpancar keikhlasan dan kebahagiaan dari wajah mereka.

Aku tak pernah menyesal menghirup sup dal paling tak sedap di dunia kerana aku dapat melihat keindahan dunia yang ramai tak pernah melihatnya..

😉

Mengenai penulis

Tambah komen

Admin

Who is aLiph.My?

Official blog of Aliff Ahmad (Aliff Shariffuddin) also known as Abu Fedora al-Turkistani. His real name is Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin. The co-founder of Scrut.my , Ifmal.com , Idsb.my and Coin.my.