TENTANG BERSIWAK (GOSOK GIGI)

T

Pagi ini ulangkaji tentang hadis-hadis kelebihan berpuasa. Jadi pastilah hadis ini akan kita temui.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

“Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi.” [HR. Muslim no. 1151]

Hadis ini memberitahu betapa tingginya darjat orang yang berpuasa di sisi Allah hatta bau mulutnya juga lebih harum di sisi Allah. Hadis ini tidak bermaksud kita tidak boleh menggosok gigi ketika berpuasa atau sunat tidak menggosok gigi.

Hal ini ditunjukkan dalam sebuah hadis,

Salah seorang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menceritakan,

رَأَيْتُ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- مَا لاَ أُحْصِى يَتَسَوَّكُ وَهُوَ صَائِمٌ

“Aku pernah melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersiwak beberapa kali hingga tidak dapat ku hitung banyaknya, meskipun saat itu beliau sedang berpuasa.” [HR Tirmidzi & Ahmad]

Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda,

السِّوَاكُ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِ ، مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ

“Bersiwak boleh membersihkan mulut dan mendatangkan redha Allah.” [HR. Nasa’i]

Jadi berpuasalah dan gosoklah gigi walaupun berpuasa.

—-

TENTERA ISLAM ASAH GIGI!

Diceritakan pada kurun ke-8 Hijrah iaitu ketika zaman Bani Abasiyyah, orang Islam ketika itu sedang berdakwah di Samarkand (ibu Negara Uzbekistan). Pada waktu itu, tentera Islam telah berjaya membuka negara-negara yang bersempadan dengan Samarkand yang berhampiran dengan China.

Suatu ketika, mereka tidak dapat menembusi sebuah benteng. Tentera-tentera musuh berdiri di sepanjang pintu dan dinding kota. Tiada siapa boleh keluar dan masuk. Mereka bagaikan sebuah dinding yang tidak dapat dirobohkan. Akibatnya, peperangan berlanjutan. Tiada siapa yang kalah atau menang.

Maka, panglima perang Islam melalukan ‘post-mortem’. Perkara pertama yang ditanya ialah,

“Adakah sesiapa dalam kalangan kamu yang tidak menunaikan solat?”

Mereka menjawab, “Tidak.”

“Adakah sesiapa yang meninggalkan satu daripada sunnah Nabi SAW?” soalnya lagi.

Mereka terdiam. Setelah berfikir dan bertanya sesama sendiri, barulah mereka sedar bahawa mereka meninggalkan amalan bersiwak ketika berwuduk dan solat kerana terlalu sibuk berperang.

Lantas, mereka memanjat pokok kurma dan mengambil batangnya untuk dibuat kayu sugi. Setelah itu, azan dilaungkan. Maka, mereka pun segera bersiwak sebelum berwuduk untuk menunaikan solat.

Seorang pengintip masuk ke khemah orang Islam untuk mengintip. Dia menjadi gementar melihat orang Islam sedang bersiwak. Lalu. Dia pun pulang memberitahu kaumnya,

“Sesungguhnya musuh kita bukan sembarangan manusia. Mereka sedang mengasah gigi mereka dengan kayu untuk meratah kita seorang demi seorang. Bersedialah kamu semua untuk diratah oleh mereka.”

Kaumnya percaya. Mereka menjadi gerun lalu mengundurkan diri. Maka, orang Islam berjaya menawan negeri itu dengan mudah dan ramai yang memeluk Islam. Penduduk kota itu, setelah memeluk Islam, menjadikan siwak sebagai satu amalan yang tidak ditinggalkan.

Mereka ketawa mengenangkan ketakutan mereka kepada siwak. Mereka berkata, “Kami dikurniakan Islam dengan berkat sunnah bersiwak. Maka, hidupkanlah kami ya Allah dalam agama Islam dan dalam keadaan sentiasa melazimi sunnah.”

[Qasas as-Solihin, Syeikh Hamed Ahmad Tahir]

—-

KAYU SUGI DAN SERANGAN 9/11 DI NEW YORK

Ketika aku di Nizamuddin, seorang warga Pakistan menceritakan dalam syarahannya (bayan) bagaimana jemaahnya ditangkap ketika serangan 9/11.

Katanya, kami disoal siasat selama lebih kurang 3 hari oleh FBI dan CIA. Sampailah seorang pegawai tinggi seorang wanita yang menyoal siasat kami.

Dia terlihat salah seorang jemaah kami yang meletakkan kayu sugi di dalam poket hadapan jubahnya. Maka dia bertanya, “apa itu?”

Saudara kita itu terus jawab, “ini kayu sugi, guna untuk gosok gigi.”

Terdengar jawapan itu, pegawai wanita itu terus mengarahkan kami dilepaskan dengan alasan, kami ini gosok gigi pun pakai kayu, macam manalah nak buat bom atau guna senjata.

Semenjak hari itu, bertambah yakinlah saya yang sunnah ini benar-benar kejayaan!

[Bayan, Nizamuddin, 2006]

Mengenai penulis

Tambah komen

Admin

Who is aLiph.My?

Official blog of Aliff Ahmad (Aliff Shariffuddin) also known as Abu Fedora al-Turkistani. His real name is Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin. The co-founder of Scrut.my , Ifmal.com , Idsb.my and Coin.my.